KOTA BHARU: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kekasihnya yang berusia 16 tahun di sebuah rumah di Sungai Rek dekat Kuala Krai, baru-baru ini.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan selesai dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang perempuan berusia 16 tahun lapan bulan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi hingga 11 malam pada 14 Januari, 24 Januari dan 14 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Lela Jasa, Sungai Rek dekat Kuala Krai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi.
Mahkamah turut menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN










