KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) akan menentukan pengganti Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang melalui satu mesyuarat pada 14 Mac ini.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, notis makluman mesyuarat tersebut sudah dihantar kepada ahli-ahli MT PN.
“PN akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi ada 14 hari Mac, hari Sabtu, jam 11 pagi. Notis sudah pun dikeluarkan kepada semua ahli-ahli mesyuarat ahli majlis tertinggi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, Hamzah perlu melepaskan jawatannya di Dewan Rakyat kerana tidak mempunyai locus standi untuk memegang jawatan tersebut.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan terus kekal di kerusi tersebut adalah tidak wajar dan memalukan memandangkan Ahli Parlimen Larut itu tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti.
Pada 13 Februari lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Hamzah yang merupakan Timbalan Presiden.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.-UTUSAN











