Penyakit tidak berjangkit tinggi di luar bandar

Penyakit tidak berjangkit tinggi di luar bandar

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) mencatatkan lebih tinggi dalam kalangan penduduk luar bandar berbanding bandar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah pesakit diabetes di luar bandar ialah 17.6 peratus berbanding 15.7 peratus di bandar manakala hipertensi 33.7 peratus berbanding 27.9 peratus, hiperkolesterolemia 36.8 peratus berbanding 32.3 peratus dan obesiti 22.9 peratus berbanding 21.5 peratus di bandar.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membendung peningkatan kos rawatan dialisis, terutamanya bagi penduduk luar bandar yang perlu bergerak jauh ke pusat dialisis di bandar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi memudahkan pesakit, KKM telah memperkenalkan Unit Dialisis Komuniti (UDK) di klinik kesihatan luar bandar. 

“Unit ini bertujuan memberi rawatan dialisis lebih dekat dengan pesakit serta meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berhubung statistik terkini NCD dalam kalangan penduduk luar bandar. 

Sehingga kini, Dzulkefly berkata, terdapat 33 UDK yang ditubuhkan di seluruh negara, dengan 28 unit telah beroperasi manakala lima lagi masih dalam pembinaan.

“Saya harap inisiatif UDK ini dapat mengurangkan beban perjalanan pesakit dialisis, seterusnya menjimatkan kos rawatan dan memastikan rawatan lebih mudah diakses penduduk luar bandar,” katanya.

Menurut Dzulkefly, pesakit yang sesuai menerima rawatan di UDK adalah golongan stabil, dan pengambilan mereka perlu dinilai terlebih dahulu oleh pakar nefrologi dari hospital terdekat.

Katanya, operasi UDK dijalankan secara tanggungjawab bersama antara hospital terdekat yang mempunyai pakar nefrologi dan pejabat kesihatan atau klinik kesihatan di lokasi unit dialisis itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini