KUALA LUMPUR: Sebanyak RM159.79 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek meroboh dan membina semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah sebagai usaha meningkatkan kebajikan penjawat awam di negeri itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan kuarters tersebut merangkumi 216 unit kuarters flat persekutuan lengkap dengan kemudahan surau, dewan serbaguna, tadika, taska serta ruang parkir yang mencukupi.
“Projek ini adalah inisiatif Kerajaan Madani dalam menyediakan kuarters yang selamat, selesa dan kondusif kepada penjawat awam, seterusnya memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di Sabah.
“Untuk makluman, projek ini akan dilaksanakan melalui kaedah Reka dan Bina dengan kos sebanyak RM159.79 juta dan dianugerahkan kepada Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn. Bhd.
“Pelaksanaan serta pemantauan projek ini dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang dijangka mengambil masa 42 bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek bagi Projek Cadangan Meroboh dan Membina Semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah di Menara Kerja Raya, di sini hari ini.
Sementara itu, Alexander berkata, sebagai rakan kongsi strategik kepada Jabatan Perdana Menteri dalam penyediaan infrastruktur negara, JKR Malaysia telah berjaya mengeluarkan sebanyak 24 Surat Setuju Terima (SST) sejak tahun 2024 hingga kini.
Katanya, dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2026 sahaja, sebanyak tiga SST telah dikeluarkan termasuk bagi projek yang diumumkan hari ini.
“Kerajaan amat berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar melalui kerjasama erat daripada semua pihak termasuk agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, sektor swasta serta kontraktor.
“Diharapkan dengan sokongan ini, projek dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan sekali gus memberikan manfaat kepada kerajaan dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN











