KUALA TERENGGANU: Yayasan Petronas meneruskan komitmennya terhadap kebajikan masyarakat apabila menyumbang kepada seramai 4,850 keluarga di 13 buah negeri serta dua Wilayah Persekutuan dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta tahun ini.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga terpilih dan menambah keceriaan menjelang Syawal.
“Di Terengganu, sebanyak 450 keluarga di enam daerah dipilih iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut menerima sumbangan berupa makanan asas serta hamper kuih raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, “katanya pada Majlis Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri di sini.
Mohammad Ahmad Shazly berkata, program tahunan itu adalah sebahagian daripada fokus Yayasan Petronas terhadap kesejahteraan dan pembangunan komuniti.
“Selain itu, kita menyediakan peluang pendidikan dan latihan untuk semua lapisan masyarakat di samping memupuk pembangunan lestari dan perancangan jangka panjang demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas kerjasama mereka memastikan sumbangan disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak dan memerlukan,” katanya. – UTUSAN











