KUALA LUMPUR: Laporan siasatan berhubung dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan siap dalam tempoh satu hingga dua hari dan dijangka dibentangkan minggu ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, laporan yang diketuai Peguam Negara itu tidak akan tertangguh dan akan menjadi asas kepada sebarang keputusan lanjut termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Saya tidak menerima atau menolak. Biar kita ikut proses. Pertama, kita dapatkan laporan daripada Peguam Negara yang akan siap dalam tempoh satu hingga dua hari ini,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang memintanya menyatakan pendirian kerajaan melibatkan Azam.
Anwar berkata, kerajaan tidak menutup ruang siasatan terhadap isu pemilikan saham mahupun dakwaan terbaharu berkaitan rangkaian mafia korporat seperti dibangkitkan.
“Kita jangan buruk sangka. Biar siasatan dapat fakta. Kedua-duanya itu tidak ditutup,” katanya.
Menurut beliau, selepas laporan diterima, kerajaan akan menilai sama ada terdapat rasional untuk melanjutkan siasatan atau memperluaskan skop termasuk melalui RCI.
“Kalau ada rasional untuk dilanjutkan dan dalam bidang apa yang perlu diteliti, itu kita akan putuskan selepas melihat laporan,” katanya.-UTUSAN











