Mahkamah Tinggi tangguh kes pembayaran Shell MDS terhadap Petronas, Petros

Mahkamah Tinggi tangguh kes pembayaran Shell MDS terhadap Petronas, Petros

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan pengurusan kes pertikaian bayaran gas melibatkan Shell MDS (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sehingga 16 Mac. 

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu untuk menunggu keputusan permohonan kebenaran yang difailkan Petronas berhubung kedudukan operasinya di Sarawak di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Petronas, Khoo Guan Huat memaklumkan bahawa syarikat minyak nasional itu telah memfailkan rujukan ke Mahkamah Persekutuan pada Januari lalu dan pendengaran ditetapkan pada 16 Mac, manakala Kerajaan Sarawak turut memfailkan petisyen berasingan bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Disebabkan terdapat dua perkara di Mahkamah Persekutuan dan isu yang dibangkitkan memberi kesan kepada kes ini, adalah lebih wajar untuk menunggu keputusan tersebut,” katanya ketika prosiding di sini, hari ini.

Guan Huat berkata, peguam kanan Sarawak, Mohd. Adzrul Adzlan turut bersetuju bahawa isu yang dibangkitkan adalah hampir sama dan telah diperincikan dalam dokumen Mahkamah Persekutuan.

“Kami (Petronas dan Kerajaan Sarawak) telah memperincikan isu dalam kertas kausa di Mahkamah Persekutuan dan menjangkakan kejelasan selepas 16 Mac. 

“Memandangkan Shell MDS dan Petros menyerahkan perkara ini kepada mahkamah, kami memohon tarikh pengurusan kes selepas tarikh tersebut,” katanya.

Mahazan kemudian menetapkan 30 Mac sebagai tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan Shell MDS membuat pembayaran berhubung pembekalan gas kepada Petronas dianggarkan melebihi RM500 juta.

Ia berikutan syarikat minyak nasional itu berjaya mengetepikan injunksi sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, supaya ia terus membekalkan gas kepada Shell MDS di fasiliti Bintulu, Sarawak, tanpa menerima sebarang bayaran sejak Ogos tahun lalu.

Tindakan tidak membuat pembayaran oleh Shell MDS timbul disebabkan dakwaan adanya dua invois iaitu daripada Petronas dan Petros menyebabkan kebimbangan Shell MDS terhadap kemungkinan perlu membuat bayaran berganda, sementara isu bidang kuasa antara Petronas dan Petros sedang diselesaikan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azimah Omar telah sebulat suara membenarkan rayuan Petronas untuk mengetepikan injunksi berkenaan dan memerintahkan jumlah itu dibayar dalam tempoh 14 hari, iaitu bagi bayaran sejak Ogos tahun lalu.

Ia membenarkan Petronas mengetepikan injunksi mandatori yang menghendaki syarikat minyak dan gas itu terus membekalkan gas tanpa menerima sebarang bayaran setakat ini.

Petronas juga berjaya mengetepikan injunksi kedua dan ketiga iaitu berhubung dengan Jaminan Bank. 

Shell MDS memohon supaya Petronas dihalang daripada membuat tuntutan ke atas jaminan itu, menerima atau menggunakan hasilnya, serta memohon pemulangan semula hasil yang telah diterima.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini