MELAKA: Modus operandi pengedaran dadah dalam bentuk minuman berperisa yang menyasarkan pelanggan pusat hiburan di negeri ini lumpuh selepas polis merampas pelbagai jenis ‘jus dadah’ bernilai lebih RM200,000 dalam serbuan di Banda Hilir di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan, sebuah rumah diserbu pada pukul 2.30 petang, yang membawa penahanan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun dipercayai pengedar.
Katanya, pemeriksaan menemukan 138 peket serbuk disyaki dadah 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) serta 87 botol dan 15 tin minuman mengandungi cecair dadah jenis sama.
“Rampasan botol dan tin minuman itu dianggarkan bernilai RM35,700 manakala peket berisi dadah dengan berat keseluruhan 6.052 kilogram dianggarkan bernilai RM226,500. Kita percaya kesemua jus dadah ini adalah untuk pasaran pusat hiburan di sekitar Melaka Raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Christopher berkata, lebih 10 perisa serbuk dadah dikenal pasti seperti jambu, oren, anggur dan nenas dengan setiap peket dijual pada harga RM250 hingga RM300, manakala minuman dalam botol atau tin sekitar RM150 hingga RM200.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,”
katanya.-UTUSAN











