GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah memanggil 63 individu setakat ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah serta penyelesaian bayaran baki pinjaman perumahan menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kesemua individu itu yang terdiri daripada pegawai serta kakitangan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat undang-undang, Ahli Lembaga Pengarah, pegawai dan kakitangan Zakat MAINPP itu dipanggil memberi keterangan hari ini.
Katanya, individu-individu ini dipanggil secara berperingkat sebaik sahaja kertas siasatan dibuka untuk dirakam keterangan masing-masing.
“Siasatan awal mendapati, suspek utama yang juga merupakan pegawai kanan kerajaan negeri bersama seorang ahli Majlis Agama Islam Negeri telah menggunakan kedudukan dan jawatan masing-masing untuk mencadang serta meluluskan pembelian tiga lot tanah pada harga kira-kira RM10 juta,” katanya di sini, hari ini.
Sumber yang sama memberitahu, bagi satu lagi kes yang disiasat, suspek utama bersama Pengurus Besar Agihan Zakat negeri didapati telah menyalahgunakan dana wang zakat melalui Skim Inapan Kasih dan Bantuan Kewangan berjumlah kira-kira RM184,000 untuk bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Zakat negeri.
“Justeru, penghujung Januari lalu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat ini susulan pendedahan yang dibuat oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan negeri hujung tahun lalu,” katanya.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S.Karunanithy ketika dihubungi kemudian mengesahkan siasatan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid yang hadir ke pejabat SPRM di sini sejak pukul 9.48 pagi tadi dilaporkan telah meninggalkan pejabat tersebut kira-kira pukul 4.11 petang ini.
Mohamad dipercayai hadir selepas dipanggil untuk membantu siasatan oleh SPRM berhubung dakwaan salah guna dana zakat yang mengaitkan nama beliau sebelum ini.-UTUSAN










