Suspek tembak komander AKPS disyaki kaitan Geng Pak Su

Suspek tembak komander AKPS disyaki kaitan Geng Pak Su

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 10 suspek termasuk seorang wanita warga Thailand sudah ditahan bagi membantu siasatan kes tembak kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, minggu lalu.

Kesemua mereka yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Geng Pak Su ditahan sejak 25 hingga 28 Februari lalu di beberapa lokasi sekitar Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berhubung insiden itu termasuk mengesan senjata yang digunakan dua suspek lelaki bermotosikal yang cuba menembak Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada Sabtu lalu, Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dengan kerjasama D9 Bukit Aman telah melaksanakan tiga serbuan susulan dan berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan.

“Mereka berusia 44 hingga 58 tahun dan saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif methamphetamine. Polis turut merampas tiga telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, semakan lanjut mendapati dua daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dan tangkapan itu menjadikan 10 suspek sudah ditahan berkaitan kes terbabit setakat ini termasuk penahanan tujuh suspek pada hari kejadian.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi, Mohd. Nasaruddin yang memandu Proton X70 miliknya dalam perjalanan ke Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam sebelum kenderaannya ditembak dua das oleh suspek pada jarak satu meter.

Tembakan pertama terkena bahagian pintu belakang sebelah kanan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu, sementara tembakan kedua melintasi beliau yang ketika itu membuka tingkap kereta.

Mohd. Nasaruddin cuba mengejar suspek terbabit namun mereka sempat meloloskan diri ke arah Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, sementara beliau terus ke Balai Polis Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini