Sindiket curi kabel viral tumpas

Sindiket curi kabel viral tumpas

SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kabel yang berselindung di sebalik pakaian pekerja syarikat telekomunikasi apabila sembilan individu ditahan dalam tiga serbuan berasingan, baru-baru ini. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penangkapan kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 44 tahun itu dilakukan di Dengkil, Sungai Petani dan Ipoh pada 22 dan 26 Februari lalu melalui Op Kabel Viral.

Katanya, sindiket yang aktif sejak tahun lalu menjadikan penyamaran sebagai pekerja telekomunikasi sebagai modus operandi utama bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka antaranya menyamar dengan  memakai vest, baju berlogo syarikat telekomunikasi , lampu beacon serta topi keselamatan berlogo syarikat telekomunikasi kononnya sedang menjalankan kerja penyelenggaraan kabel. 

“Setiap daripada suspek mempunyai peranan tersendiri sebagai pengorek dan bakar kabel. 

“Tiga suspek wanita bertindak sebagai penjual dan mencari tempat penginapan bagi kumpulan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini. 

Semakan rekod mendapati sebahagian besar daripada mereka merupakan penjenayah tegar dengan pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan kes curi kabel, samun serta dadah. 

Malah katanya, dua daripada suspek juga masih dikehendaki bagi kes di Subang dan Perak.

“Selain itu, tujuh daripada suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan THC.

“Turut dirampas 12 batang kabel serta 20 unit kulit kabel milik syarikat telekomunikasi bersama peralatan jenayah termasuk besi pembuka lubang penyelenggaraan (manhole) yang telah diubah suai,” katanya.

Pelbagai peralatan dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan tersebut turut disita termasuk l dua buah kenderaan masing-masing jenis BMW dan Nissan Navara serta sebuah lori Mitsubishi Canter selain penemuan dokumen transaksi jual beli dan salinan resit bank berjumlah RM60,000.

“Operasi ini telah berjaya menyelesaikan beberapa kes yang dilaporkan di Jinjang, Kupang dan Padang Serai. Semua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam esok dibawah Seksyen 379/414 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Polis bagaimanapun sedang mengesan tiga lagi suspek iaitu Muhammad Zaidi Zainal @ Abah, Mohamad Shuhaimi Ismail @ Mat Balad dan Muhd Hafidzul Fauzi Merican Fadeli Shah Merican @ Mican berusia 29 hingga 42 tahun dengan dipercayai salah seorang daripadanya  merupakan ketua kumpulan terbabit.

Kegiatan itu terbongkar selepas rakaman video dipercayai kegiatan anggota itu mencuri kabel di Shah Alam tular di media sosial baru-baru ini.

Rakaman tersebut menunjukkan beberapa individu menggunakan beberapa kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dipercayai sedang melakukan kegiatan itu pada waktu malam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini