KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan sebanyak 36 tangkapan membabitkan penjawat awam daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi sejak 2021 sehingga 31 Januari tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata daripada jumlah itu, 20 pertuduhan telah dikemukakan dengan nilai rasuah yang terbabit berjumlah RM22,004,505, membabitkan lapan kes yang telah dijatuhi hukuman.
Beliau berkata, kementerian sentiasa melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap rasuah dan salah laku, khususnya dalam agensi penguatkuasaan, bagi memelihara integriti dan reputasi.
“Pendekatan ini melibatkan tindakan tegas, pemantauan disiplin serta peningkatan penggunaan teknologi seperti kamera badan untuk mencegah salah guna kuasa oleh pihak penguatkuasaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Shamsul Anuar menjawab soalan daripada Datuk Nelson W Angang yang ingin mengetahui statistik terkini kes rasuah melibatkan pegawai kanan kerajaan serta jumlah nilai rampasan, termasuk perancangan KDN bagi memastikan tadbir urus agensi terlibat terus berjalan lancar.
Menurutnya, tindakan tatatertib dan perundangan akan diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan pegawai, sekiranya terdapat bukti kukuh, demi memelihara integriti, imej serta reputasi kementerian.
Katanya, KDN turut menyambut baik inisiatif terbaharu kerajaan melalui pengenalan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang berperanan sebagai pelengkap kepada usaha sedia ada, bagi memperkukuh tadbir urus di semua jabatan dan agensi kerajaan.
“Pelaksanaan SPINE di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat Persekutuan dan negeri merupakan mekanisme semakan kendiri untuk menilai tahap integriti, governans dan antirasuah organisasi sektor awam, mengenal pasti jurang penambahbaikan serta memperkukuh kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.-UTUSAN











