Boikot program anjuran Kedutaan AS

Boikot program anjuran Kedutaan AS

SYAHREDZAN JOHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menggesa semua ahli supaya memboikot acara anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia sebagai tanda protes terhadap serangan yang dilakukan Israel dan AS ke atas Iran.

Menurut Syahredzan Johan (PH-Bangi) pada tahun lalu, tindakan AS yang menaikkan tarif timbal balik menjejaskan ekonomi negara dan kali ini, situasi sama dijangka berlaku.

“Untuk menteri, mungkin mereka ada tanggungjawab (untuk hadir) tapi kita di BBC, kita perlu buat sesuatu. Kita boikotlah Kedutaan AS ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak perlu pergilah jika dapat jemputan (daripada Kedutaan AS), seperti Hari Kemerdekaan. Kita tunjukkan, kita tidak boleh lagi terima apa yang mereka lakukan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mencelah perbahasan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) bagi sesi penerangan situasi keselamatan di Iran dan rantau Asia Barat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang), yang juga Pengerusi BBC, berkata, kerajaan Malaysia perlu memimpin suara negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak gencatan senjata serta-merta di Iran.

Beliau berkata, laluan bantuan kemanusiaan perlu dibuka tanpa syarat dan penjenayah perang yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan. 

“Nyawa manusia sedang diratah di hadapan mata dunia. Tindakan AS dan Israel membedil sebuah negara berdaulat memijak lumat undang-undang antarabangsa, dicabul secara terang-terangan demi memuaskan nafsu hegemoni mereka. 

“Jika kita terus berdiam diri dan membiarkan prinsip undang-undang ini dicabul secara terang-terangan, maka kita sedang menghantar satu mesej yang sangat berbahaya,” katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pula berkata tindakan AS hanya mementingkan rejim Zionis tanpa mengambil kira kepentingan negara Teluk lain. 

“Bila Perdana Menteri mengutuk sekeras-kerasnya Israel dan AS, kami pembangkang menyokong kenyataan itu. 

“Kita lihat apa yang dilakukan oleh (Presiden Donald) Trump hanya untuk kepentingan dirinya, tidak melihat kedudukan dunia. 

“Sebab itu banyak kenyataan bahawa Trump sudah menjadi pemimpin yang begitu angkuh dan sombong, seolah-olah hanya beliau boleh menentukan masa depan dunia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini