Tekong darat seludup sembilan migran ditahan 

Tekong darat seludup sembilan migran ditahan 

Kesemua individu berkenaan ditahan ketika kenderaan dinaiki mereka dipercayai dalam perjalanan menuju sebuah rumah penampungan di Meru, Klang sebelum migran terbabit diuruskan individu dikenali sebagai ‘Pak Haji’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu rangkaian penyeludupan migran selepas menahan seorang tekong darat bersama sembilan warga Indonesia sejurus mereka mendarat di Pantai Remis, Perak, pagi tadi.

Kesemua individu berkenaan ditahan ketika kenderaan dinaiki mereka dipercayai dalam perjalanan menuju sebuah rumah penampungan di Meru, Klang sebelum migran terbabit diuruskan individu dikenali sebagai ‘Pak Haji’.

Penahanan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang, Sekinchan kira-kira pukul 6.30 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wartawan yang mengikuti operasi berkenaan dimaklumkan, bot yang membawa migran terbabit pada awalnya dijangka mendarat di kawasan perairan Selangor.

Bagaimanapun, sindiket dipercayai menukar taktik dengan mengubah laluan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum mendarat di kawasan pesisiran Pantai Remis, Perak.

Difahamkan, sindiket tersebut mengupah tekong darat warga tempatan serta menyewa sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bagi mengambil migran di lokasi pendaratan sebelum membawa mereka memasuki kawasan Sabak Bernam.

Sebaik kenderaan itu berhenti di stesen minyak terbabit, polis yang mengekori sejak awal terus melakukan serbuan.

Hasil pemeriksaan menemukan enam lelaki dan tiga wanita bersembunyi di dalam kenderaan dan terkejut sebaik menyedari kehadiran polis.

Siasatan awal mendapati kesemua migran gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Mereka dipercayai membayar antara RM1,500 hingga RM1,600 secara tunai kepada tekong bot sebelum berlepas ke negara ini.

Polis turut merampas sebuah Perodua Alza, dua telefon bimbit serta satu anak kunci dalam operasi berkenaan.

Semua tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini