PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) perlu membebaskan diri daripada pengaruh Zionis yang didakwa melakukan dasar mengancam keamanan, sebaliknya memainkan peranan secara objektif dan berprinsip dalam menyokong penyelesaian yang adil.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, Israel dan AS juga digesa menghentikan sebarang serangan terhadap Iran dan segera kembali ke meja rundingan bagi menjamin hak rakyat untuk hidup dalam keadaan aman tanpa ancaman perang.
Katanya, PUM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ketenteraan oleh Israel dan AS terhadap Iran yang mencetuskan konflik serius terbaharu di rantau Asia Barat.
“Serangan tersebut mengorbankan pemimpin utama Iran, Ali Khamenei, pemimpin kanan serta orang awam termasuk 180 pelajar sekolah, selain memberi ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan serantau.
“Serangan ini memburukkan lagi ketegangan sedia ada di Timur Tengah susulan projek dan perancangan Zionis yang telah lama wujud.
“Perang dan keganasan tidak membawa penyelesaian, sebaliknya hanya menambah penderitaan, menyekat usaha rundingan dan dialog serta mengancam kestabilan rakyat di seluruh rantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Luqman berkata, kekejaman serangan itu turut menjejaskan hak asasi manusia, prinsip keadilan antarabangsa dan kedamaian sejagat.
“Komuniti antarabangsa perlu mengutamakan gencatan senjata segera dan menghentikan segala bentuk keganasan, menegakkan prinsip antarabangsa serta memastikan perlindungan terhadap orang awam menjadi keutamaan.
“PUM juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri yang membawa usul tergempar di Parlimen untuk mengutuk serangan terhadap Iran, selain menyentuh nasib rakyat Gaza yang terus ditindas,” katanya.-UTUSAN











