Serangan terhadap Iran pencabulan undang-undang antarabangsa

Serangan terhadap Iran pencabulan undang-undang antarabangsa

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan ketenteraan berterusan terhadap Iran adalah pencabulan terang-terangan terhadap prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa serta mengancam kestabilan serantau dan keamanan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan ketenteraan secara berterusan itu bukan sahaja berisiko, malah telah mula menyebabkan ketegangan lebih besar sehingga menggugat kestabilan serantau khususnya di negara-negara Asia Barat.

“Semuanya atau kebanyakannya diheret dalam kancah peperangan akibat daripada serangan yang dimulakan oleh Israel yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat (AS).

“Tentangan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kenyataan Setiausaha Agung, Antonio Guterres baru-baru ini jelas mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul untuk mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar, Israel merupakan satu-satunya negara yang terus-menerus melanggar ketetapan antarabangsa tanpa menghiraukan prinsip Piagam PBB serta tatanan hukum dunia.

“(Namun) Israel satu-satunya negara yang terus-menerus melanggar ketetapan antarabangsa. Hari ini Iran, semalam Lubnan, sebelumnya Iraq, Syria dan pembantaian terhadap umat dan rakyat Palestin dan Gaza berterusan hingga kini.

“Sebab itu, kita tidak ada pilihan melainkan untuk menyatakan dengan tegas dan jelas bahawa tindakan ini bertentangan dengan peraturan dunia,” katanya.

Anwar berkata, sebagai negara bebas dan merdeka, Malaysia hanya mampu menyeru supaya gencatan senjata berlaku tanpa syarat serta-merta dan sebarang pertikaian yang wujud mesti kembali ke meja rundingan secara konstruktif.

“Tidak boleh dipertikai kenyataan bahawa tindakan ganas ini, menyerang negara berdaulat dan merdeka adalah tindakan biadab, melanggar prinsip Piagam PBB dan melanggar semua peraturan ketetapan dalam hukum undang-undang dunia.

“Oleh itu, Malaysia dengan ini mengutuk keras serangan rejim Zionis Israel dan AS terhadap Iran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pilihan terbaik ketika ini ialah usaha pendamaian dan memperkukuh kerjasama dengan negara-negara Teluk supaya kembali bersatu melalui rundingan demi mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau berkenaan.

“Jika tidak, seperti yang boleh dijangka, giliran satu negara ke negara yang lain akan terus berlaku seperti mana yang pernah diungkapkan oleh beberapa pemimpin Israel.

“Dan yang terkini memberi amaran kepada pemerintah Turkiye bahawa mereka juga tidak terlepas daripada kemungkinan serangan Israel,” katanya.

Sementara itu, Anwar menyeru masyarakat untuk tidak melupakan nasib rakyat Palestin terutama di Gaza.

“Sebaiknya serangan dari Israel itu dimulakan maka pintu masuk Rafah juga ditutup di bulan Ramadan ini dan menyebabkan bantuan, makanan, perubatan kepada rakyat terbantut dan keadaan mereka tentu jauh lebih gawat,” katanya.

Beliau berkata, bantuan misi kemanusiaan sudah dilancarkan pada semalam yang membawa 30 kontena milik Malaysia ke Gaza dengan muatan sebanyak lebih 334 tan bahan makanan dan kit kebersihan.

“Sumud Darat menandakan komitmen kita kerana kita dan saya bangga anak-anak kita yang tidak lentur semangat mereka untuk mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.

“Pelancaran Sumud Darat juga membuktikan bahawa solidariti rakyat melangkaui kaum agama dan latar belakang politik dan kita konsisten untuk berdiri teguh mempertahankan hak rakyat Palestin dan dalam keadaan sekarang membantu meringankan beban hidup akibat kezaliman rejim Zionis Israel,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×