Pijak al-Quran: Video lama di Singapura - MCMC

Pijak al-Quran: Video lama di Singapura – MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan bahawa video memaparkan seorang lelaki memijak al-Quran yang tular di media sosial adalah rakaman lama membabitkan seorang warga Singapura.

Menurut MCMC, pihaknya sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula video yang berlaku di Singapura pada tahun 2024.

“MCMC telah menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di negara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MCMC memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama dengan platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok, bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia.

“MCMC menegaskan bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa,” katanya.

Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini