Kerajaan tidak bercadang hentikan rancangan realiti agama

Kerajaan tidak bercadang hentikan rancangan realiti agama

MARHAMAH ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan rancangan realiti agama di negara ini walaupun terdapat bekas peserta program itu yang berkelakuan sumbang hingga mencemarkan imej agama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, kerajaan mengambil maklum mengenai kebimbangan berhubung penglibatan segelintir bekas peserta rancangan realiti agama dalam aktiviti yang menjejaskan imej Islam.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan membezakan secara jelas antara salah laku individu dengan objektif asal program, kerana sebarang pelanggaran undang-undang adalah tanggungjawab peribadi dan tertakluk kepada proses perundangan sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang menghentikan rancangan realiti agama secara menyeluruh.

“Sebaliknya, kerajaan akan memperketat pematuhan garis panduan, pengukuhan mekanisme pemantauan kandungan, penglibatan penasihat atau panel Syariah serta kerjasama dengan pihak penyiaran bagi memastikan pelaksanaan program lebih berdisiplin, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab Senator Dr. Jufitri Joha mengenai langkah diambil kerajaan, sama ada untuk menghentikan sementara rancangan realiti agama atau mengetatkan garis panduan berikutan penglibatan segelintir bekas peserta dalam aktiviti yang merosakkan imej Islam.

Marhamah berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) 2014 yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

“Garis panduan ini menekankan bahawa program berunsur agama hendaklah berteraskan akidah, syariah dan akhlak, termasuk kandungan, persembahan serta keperibadian individu terlibat.

“Perkara 10(1)(a) Garis Panduan ini secara jelas menetapkan bahawa individu terlibat hendaklah mengekalkan peribadi mulia walaupun di luar persembahan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan bersedia untuk menambah baik garis panduan itu dengan mengambil kira perkembangan semasa dalam landskap media dan teknologi digital agar ia kekal relevan, jelas serta mampu menjadi rujukan berautoriti kepada semua pemain industri penyiaran di negara ini.

“Di samping itu, kerajaan turut menekankan kepentingan kefahaman agama dan literasi media agar masyarakat tidak mengangkat mana mana individu sebagai simbol mutlak agama, sebaliknya menilai ajaran berdasarkan sumber sahih dan autoriti yang diiktiraf,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini