Bahasa Cina, Bahasa Tamil untuk murid pendidikan khas

Bahasa Cina, Bahasa Tamil untuk murid pendidikan khas

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kurikulum Persekolahan 2027 bakal memperkenalkan mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil khusus untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) bagi memperkasakan penguasaan bahasa ibunda golongan itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha kementerian menambah baik pelaksanaan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di seluruh negara.

Menurut beliau, ketika ini MBPK yang mengikuti PPKI di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK).

“Bagi mempertingkatkan pelaksanaan dan memudahkan pengajaran dan pembelajaran guru serta memperkasakan bahasa ibunda MBPK, Kurikulum Persekolahan 2027 menawarkan mata pelajaran BC dan BT khusus untuk murid berkeperluan pendidikan khas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tuan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kementerian menyatakan kurikulum diguna pakai untuk PPKI serta rancangan memperkasakan MBPK dengan bahasa ibunda masing-masing memandangkan kebanyakan kelas PPKI dilaksanakan dalam Bahasa Melayu.

Menurutnya, bagi MBPK yang mengikuti program pendidikan inklusif, pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan menggunakan KSSR dalam kelas yang sama dengan murid tipikal.

Tambah beliau, KSSRPK turut menyediakan mata pelajaran khusus seperti Pendidikan Asas Individu Ketidakupayaan Penglihatan, Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengurusan Kehidupan bagi membantu mengurangkan halangan pembelajaran yang dialami MBPK.

Selain itu, dokumen kurikulum bagi tiga mata pelajaran khusus tersebut di bawah Kurikulum Persekolahan 2027 akan disediakan dalam tiga bahasa mengikut bahasa pengantar sekolah, sekali gus menyokong perkembangan komunikasi, emosi dan identiti murid berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×