Lebih 1,000 jemaah umrah Malaysia terkandas di Arab Saudi

Lebih 1,000 jemaah umrah Malaysia terkandas di Arab Saudi

JEMAAH umrah yang akan berangkat ke Jeddah terkandas menunggu situasi semasa berikutan penutupan ruang udara susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 1,000 jemaah umrah Malaysia yang mahu pulang ke tanah air terkandas di Arab Saudi selepas penerbangan mereka ditangguhkan tanpa tempoh tertentu susulan perang antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran di Asia Barat.

Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, jumlah itu merangkumi rombongan umrah yang telah berlepas dan menunaikan ibadah itu di Tanah Suci sejak awal Ramadan lalu.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku susulan pembatalan penerbangan berikutan penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat akibat konflik berkenaan.

Beliau turut menjangkakan lebih 2,000 bakal jemaah yang dijadual menunaikan umrah menjelang 10 akhir Ramadan turut berdepan risiko dibatalkan penerbangan mereka sekiranya konflik di rantau itu berterusan.

“Buat masa ini hanya Saudi Airlines beroperasi, manakala syarikat lain tidak dapat meneruskan penerbangan atas faktor keselamatan.

“Jumlah 1,000 ini berdasarkan anggaran setiap musim umrah pada awal Ramadan. Angka ini boleh bertambah seganda pada 10 malam terakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara syarikat penerbangan yang terlibat termasuk Qatar Airways, Air Arabia dan Etihad Airways yang menangguhkan operasi sehingga diberitahu kelak, termasuk penerbangan Emirates melalui Karachi.

Malaysia Airlines turut membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dan Doha, Jeddah serta Madinah pada 28 Februari dan 1 Mac 2026 susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.

Gangguan tersebut susulan beberapa siri serangan udara dilancarkan AS dan Israel terhadap sasaran di Iran yang kemudiannya mencetuskan serangan balas peluru berpandu oleh republik itu.

Iran turut dilaporkan menyasarkan lokasi dikaitkan dengan operasi ketenteraan AS di Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

Pihak berkuasa penerbangan awam Qatar memaklumkan ruang udara negara itu ditutup sementara, manakala Iraq dan Syria turut mengambil langkah sama. Russia pula membatalkan penerbangan komersial ke Iran dan Israel sehingga diberitahu kelak, sementara Air France, Lufthansa dan Turkish Airlines antara syarikat yang menggantung operasi ke rantau tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Lembaga Pengarah Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd., Izzati Ibrahim berkata, seramai 283 jemaah di bawah kendalian syarikat itu kini terkandas di Jeddah dan Mekah selepas penerbangan pulang ditangguhkan.

Katanya, ia susulan penerbangan Malaysia Airlines yang dijadualkan berlepas dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada pukul 7 malam kelmarin telah ditangguhkan sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Katanya, kumpulan terlibat yang mengikuti pakej umrah dari 18 Februari hingga 1 Mac akan terus ditempatkan di hotel milik syarikat itu di Mekah.

Sementara itu, kira-kira 55 jemaah umrah warga Malaysia di bawah kendalian sebuah agensi kini terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang mereka yang dijadualkan pada awal pagi Sabtu dibatalkan.

Seorang jemaah Mohd Nasarudin Kassim, 57, memaklumkan mereka sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada 1 pagi waktu tempatan namun dimaklumkan mengenai pembatalan itu oleh pihak syarikat penerbangan pada 8 malam sebelumnya.

Beliau berkata kumpulan jemaah itu kini ditempatkan sementara di sebuah hotel di Jeddah oleh pihak syarikat penerbangan sementara menunggu jadual penerbangan seterusnya.

Selain kumpulan dari agensi berkenaan, terdapat juga beberapa kumpulan jemaah dari agensi lain yang turut terkesan dan ditempatkan di hotel yang sama.

Mengenai jadual penerbangan gantian, Mohd. Nasarudin berkata berdasarkan maklumat terkini, mereka dijadualkan berlepas pulang melalui penerbangan Malaysia Airlines MH159 pada 2 Mac, pada 9.30 malam namun lokasi pelepasan telah diubah dari Jeddah ke Madinah.

“Situasi di sini buat masa ini tenang dan terkawal. Pihak agensi dan syarikat penerbangan ada menyediakan penginapan hotel untuk kami sementara menunggu Isnin nanti,” katanya.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan keadaan terkini di rantau itu.

“Situasi di seluruh Arab Saudi pada ketika ini adalah selamat dan terkawal. Namun rakyat Malaysia di Arab Saudi dinasihatkan supaya peka dengan perkembangan semasa dan diminta kekal tenang.

“Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa mengenai situasi semasa dan sebarang perkembangan penting yang memerlukan tindakan lanjut akan dimaklumkan dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu pesara guru, Azimah Abdul Karim,47, mengakui  bimbang namun, reda jika tidak dapat berlepas ke sana (menunaikan umrah).

Azimah bersama suami Ahmad Fadzil Ibrahim, 50, dan dua anak, Afif Firas, 16, Nur Aafiyaa Fatihah, 12, dijadual berlepas ke Jeddah, Arab Saudi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini bagi menunaikan umrah di tanah suci.

Mengikut jadual, Azimah bersama 11 yang lain dijadual berlepas kira-kira 5.35 petang ini dengan pesawat Saudi Airlines.

Azimah ketika ditemui di KLIA berharap dapat menunaikan umrah dan berpuasa di Tanah Suci tahun ini namun, pada masa sama bimbang dengan perkembangan serta konflik di Timur Tengah.

“Kalau tak dapat pergi saya reda, kalau dapat pergi…Alhamdulillah. Setakat yang dimaklumkan agensi pelancongan kami, jadual perjalanan tidak berubah serta tiada pemakluman pembatalan penerbangan. Saya dan suami sudah lima kali menunaikan umrah dan kali ini adalah umrah kedua dalam bulan Ramadan,” katanya.

Dia dan suami berharap dapat menunaikan ibadah puasa di sana selain ingin meraikan kejayaan Nur Aafiyaa yang memperoleh keputusan 9A Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) baru-baru ini.

Azimah berkata, dia dan suami telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini khususnya situasi semasa di negara-negara Arab namun, agensi pelancongan memaklumkan tiada halangan setakat ini.

Sementara itu, jurucakap agensi pelancongan memaklumkan, setakat pukul 3 petang tadi tiada makluman pembatalan penerbangan oleh Saudi Airlines.

“Kumpulan jemaah yang bakal berlepas hari ini adalah seramai 11 orang dan mereka dijadual berada di Tanah Suci sehingga 23 Ramadan.

“Ini adalah kumpulan pertama yang kami kendalikan bagi umrah bulan puasa dan kumpulan kedua dijadual berlepas minggu hadapan untuk menyambut Aidilfitri di Tanah Suci,” katanya.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi perkembangan situasi keselamatan di Timur Tengah susulan laporan serangan terkini dan peningkatan ketegangan yang melibatkan Iran dan Israel.

Ia termasuk peningkatan langkah keselamatan di beberapa kawasan, penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan telah dilaporkan di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia di negara-negara berkenaan dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan perubahan jadual penerbangan secara mendadak, penutupan lapangan terbang, serta sekatan perjalanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×