Murid pelbagai kaum berbuka puasa di padang sekolah - Utusan Malaysia

Murid pelbagai kaum berbuka puasa di padang sekolah

MOHD. Faizie Shuib mengagihkan juadah kepada murid-murid daripada pelbagai kaum bersempena Majlis Iftar Perpaduan Madani di padang SK Dato’ Ahmad Musa, Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Murid bukan Islam turut merasai pengalaman berbuka puasa bersama rakan-rakan Muslim bersempena Majlis Iftar Perpaduan Madani di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Ahmad Musa di sini, kelmarin.

Program anjuran SK Dato’ Ahmad Musa dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu turut menghimpunkan kira-kira 300 warga sekolah dan komuniti setempat.

Program perpaduan itu melibatkan murid-murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun, SJKC Simpang Empat serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangar.

Guru Besar SK Dato’ Ahmad Musa, Mohd. Faizie Shuib berkata, ia dianjurkan bagi merapatkan hubungan antara ibu bapa, guru serta murid pelbagai kaum dalam suasana harmoni.

Katanya, majlis seumpama itu julung kali diadakan dan mendapat sambutan mengga­lakkan, sekali gus turut memberi pengalaman baharu kepada murid bukan Islam merasai suasana berbuka puasa bersempena Ramadan.

Ujarnya, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, sebaliknya turut menjadi jambatan penyatuan melalui program berbuka puasa seperti itu.

“Kami juga ingin mewujudkan suasana kebersamaan dalam kalangan warga sekolah serta komuniti sekitar yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

“Kita amat terharu melihat sokongan yang diberikan termasuk daripada ibu bapa dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, murid tahun enam SJKT Kangar, U.K. Yuvan Mithrann berkata, dia teruja dapat berbuka puasa bersama rakan-rakan.

“Berbuka puasa adalah pe­ngalaman pertama saya dan ia cukup mengujakan. Kami makan beramai-ramai termasuk membawa makanan sendiri bersama rakan-rakan Islam yang lain,” katanya.

Murid tahun enam SK Dato’ Ahmad Musa, Afiq Farhan Johiril berkata, dia gembira dapat berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan pelbagai kaum.

“Seronok beramai-ramai berbuka puasa di padang yang luas. Kawan-kawan bangsa lain juga sangat gembira dapat menyertai majlis berbuka ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×