Ibu mangsa tragedi bas UPSI rindu tarawih bersama arwah - Utusan Malaysia

Ibu mangsa tragedi bas UPSI rindu tarawih bersama arwah

NURHASLIZA Yusof menunjukkan gambar Allahyarham Fatin Nasrien Fadli ketika ditemui di Kampung Kerandang, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Lazimnya setiap tahun saya bersama kak long dan anak bongsu berjalan kaki bersama-sama ke masjid bagi menunaikan solat sunat tarawih. Tahun ini berbeza apabila dia pulang ke pangkuan Ilahi.”

Itu luahan Nurhasliza Yusof, ibu kepada Fatin Nasrien Fadli iaitu salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak Jun tahun lalu.

Nurhasliza, 44, berkata, kehilangan Fatin Nasrien atau lebih mesra dengan panggilan kak long dalam nahas itu memberi luka buat keluarganya kerana ia mempengaruhi kehidupan mereka.

“Ketika dalam perjalanan ke masjid, sukar saya menahan air mata apabila terkenang kak long. Jika melihat saya me­nan­gis, anak bongsu segera men­gambil gambar Allahyarham dan diberikan kepada saya.

“Apabila rindu hanya bingkai gambar kak long yang boleh dipeluk, selain mengunjungi pusaranya setiap Jumaat sebagai mengubati hati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kerandang di sini.

Nurhasliza berkata, sejak Fa­tin Nasrien yang merupakan anak sulung daripada lima beradik menyambung pengajian di UPSI, saban tahun Allahyarham pulang menyambut Ramadan bersama mereka sekeluarga.

“Menu berbuka puasa yang sering diminta oleh kak long adalah roti jala dan saya membelinya setiap kali dia pulang. Kini saya tidak kuat untuk melihat kuih itu apatah membelinya kerana ia mengingatkan saya kepada Allahyarham,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu seorang yang pendiam, namun sangat mengambil berat tentang adik-adiknya dan ketika kedatangan Hari Raya Aidilfitri, dia pa­ling sibuk melakukan persiapan.

“Biasanya kak long menca­ri tema baju raya sekeluarga, pemergian Allahyarham seolah-olah membawa sekali semangat kami. Kedatangan Ramadan ser­ta Aidilfitri disambut secara bersederhana kali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×