Orang kanan sindiket dadah Thai ditahan

Orang kanan sindiket dadah Thai ditahan

SUSPEK (kiri) yang dipercayai orang kanan sindiket dadah ditahan anggota penguat kuasa Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SADAO (THAILAND): Selepas lebih dua bulan bersembunyi di Malaysia, seorang wanita dipercayai ‘orang kanan’ sindiket pengedaran dadah dari utara ke selatan Thailand akhirnya diberkas dalam operasi khas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semasa cuba memasuki Thailand melalui pintu masuk Sadao, hasil operasi bersama Biro Siasatan Pusat dan Bahagian Siasatan Jenayah Polis Wilayah 9.

Sumber polis mendedahkan, wanita terbabit mempunyai waran tangkap atas pembabitan­nya dalam kegiatan pengedaran dadah berskala besar.

“Siasatan mendapati ­suspek melarikan diri selepas cubaan menyeludup satu juta biji pil kuda ke selatan Thailand di­patahkan dalam operasi di Wilayah Nakhon Pathom, November tahun lalu.

“Dalam sindiket itu, dia berperanan sebagai ‘mata-mata’ yang memantau pergerakan pasukan keselamatan, menilai keadaan pusat pemeriksaan serta membersihkan laluan untuk kenderaan pengangkut dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Katanya, suspek lolos ketika serbuan di Nakhon Pathom sebelum dipercayai melarikan diri ke Malaysia dan bersembunyi sejak lebih dua bulan lalu.

“Hasil maklumat risikan, polis mengesan pergerakannya dan mendapati suspek mema­suki semula Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah sebelum melalui CIQ Sadao.

“Bertindak atas maklumat ter­sebut, polis bersama Imigresen Sadao memantau rapi setiap pergerakan di pintu masuk,” ujarnya.

Sumber berkata, sejurus selepas suspek mengemukakan pasportnya, sistem biometrik imi­gresen mengesan padanan identiti dengan individu yang dikehendaki dan dia terus ditahan.

Katanya, suspek pada awalnya menafikan semua pertuduhan dan mendakwa bekerja sebagai wakil pegawai perhubungan awam di Malaysia serta mahu pulang ke Nakhon Pathom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×