PETALING JAYA: Pearl Boulevard Sdn. Bhd., pengendali Hotel D’Wharf & Serviced Residence PD, terus memperkukuh kedudukannya sebagai premis mesra Muslim selepas dapur utamanya menerima pengiktirafan sebagai dapur pemegang sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Eksekutif Halal syarikat, Norzatul Alizam berkata, lebih 200 menu dalam senarai makanan hotel itu telah mendapat pensijilan halal, sekali gus memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap status dan kebersihan penyediaan makanan.
“Dapur utama kami telah diiktiraf sebagai dapur pemegang sijil halal Malaysia. Antara menu yang disajikan termasuk Daging Palembang, kambing panggang dan nasi beriani.
“Semua bahan mentah diperoleh daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal dan dipantau rapi bagi memastikan pematuhan standard yang ditetapkan,” katanya Utusan Malaysia.
Beliau berkata, bahan mentah seperti daging, ayam dan produk sejuk beku diperoleh daripada pembekal bertauliah, manakala proses penyediaan makanan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) halal yang ketat, termasuk kawalan kebersihan dapur, peralatan dan pengendali makanan.
“Hotel telah memohon pensijilan halal sejak 2019 dan berjaya mengekalkan status tersebut sehingga kini melalui pemantauan serta pematuhan berterusan terhadap piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Norzatul, keputusan memohon sijil halal dibuat bagi memberikan keyakinan kepada pelanggan bahawa makanan yang disediakan adalah bersih dan mematuhi syariah.
“Mencari yang halal itu adalah wajib. Dengan adanya pensijilan halal, pelanggan lebih yakin terhadap bahan mentah, proses penyediaan serta pematuhan SOP oleh tukang masak dan kakitangan dapur,” katanya.
Norzatul berkata, selepas memperoleh pensijilan halal, hotel tersebut menyaksikan pertumbuhan perniagaan yang lebih positif, termasuk peningkatan tempahan daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta yang menganjurkan program serta acara di premis berkenaan.
“Perkembangan ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan hasil syarikat,” katanya.
Dalam masa sama, Norzatul berkata, pihak hotel menetapkan beberapa sasaran strategik susulan pensijilan halal. – UTUSAN










