3 pelajar maut, Exco 'sekolahkan' rakan-rakan mangsa

3 pelajar maut, Exco ‘sekolahkan’ rakan-rakan mangsa

RAHMAD MARIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga pelajar yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Tambak Paya, Ayer Molek awal pagi semalam menjadi peringatan keras apabila rakan-rakan mangsa dikumpulkan bagi diberi nasihat dan kesedaran tentang bahaya lumba haram.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata, beliau mengambil langkah itu sementara menunggu proses bedah siasat selesai bagi menyampaikan mesej secara terus kepada remaja terlibat.

“Saya terpanggil untuk kumpulkan sahabat arwah yang semuanya masih bersekolah untuk memberi kesedaran mengenai bahaya lumba haram.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangan tunjuk hero, jangan rasa kitalah paling pandai, kitalah paling laju, terpaling segala. Bila sudah meninggal dunia, semua itu tak guna,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.02 pagi itu, dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun serta seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal dinaiki mereka bertembung.

Seorang lagi mangsa berusia 18 tahun cedera parah di kepala, kaki dan tangan serta kini menerima rawatan di zon merah hospital.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, minat terhadap motosikal bukan alasan untuk mengabaikan keselamatan.

“Motor ini memang kita suka, tetapi laju kena pada tempatnya dan pakai peralatan keselamatan lengkap, jangan ganggu pengguna jalan raya lain.

“Saya sendiri bawa motosikal berkuasa tinggi yang mana pecutan gear satu boleh cecah 170 kilometer sejam dan kelajuan maksimum 340 kilometer sejam.

“Motor kita mungkin boleh pergi 150 kilometer sejam, tetapi janganlah habiskan sampai kelajuan itu kerana bukan senang hendak berhenti dengan selamat walaupun ada brek,” katanya.

Beliau berkata, isu lumba haram sukar dibanteras tanpa kesedaran dalaman remaja sendiri.

“Kalau nak berlumba, ada tempatnya tetapi bukan di jalan awam. Masalah lumba haram ini susah hendak dibanteras kecuali ada kesedaran diri, tetapi biasanya kesedaran itu sekejap sahaja.

“Untuk apa jadi hero kalau akhirnya mati di jalan raya. Kita ada mak ayah, ada keluarga dan ada cita-cita. Jangan sia-siakan semua itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini