RAUB: Jumlah kematian akibat kebakaran rumah di negara ini membimbangkan apabila tragedi menyayat di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di sini, semalam yang meragut nyawa lima sekeuarga merekodkan mangsa ke-21 bagi tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, bagi tahun ini sahaja, kejadian di Pamah Kulat adalah mangsa ke-21 yang maut akibat kebakaran rumah.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, 55 peratus kematian berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi, iaitu ketika mangsa sedang tidur dan peluang menyelamatkan diri terhad,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Menurut Nor Hisham, rumah jenis separa berkembar bersaiz kira-kira 15 x 40 kaki itu musnah hampir 70 peratus ketika pasukan bomba tiba di lokasi.Beliau berkata, hasil tinjauan awal mendapati, rumah tersebut tidak dilengkapi alat pemadam api, selain hanya mempunyai satu laluan keluar masuk kerana satu pintu lagi terhalang dengan barangan.
“Akses tunggal ini sangat berisiko. Dalam situasi kecemasan, setiap rumah sepatutnya mempunyai lebih daripada satu laluan keluar yang mudah diakses semua ahli keluarga termasuk kanak-kanak.
“Perkara paling asas adalah memiliki sekurang-kurangnya satu alat pemadam api di rumah. Berdasarkan pergerakan mangsa, kita percaya mereka sebenarnya mempunyai masa untuk bertindak pada peringkat awal sekiranya ada alat tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, JBPM akan memperhebat program kesedaran awam khususnya di kawasan kampung dan perumahan padat susulan tragedi berkenaan.
Beliau memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan Pengarah Zon dan Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Pahang untuk segera melaksanakan program advokasi bersama pemimpin setempat di Pamah Kulat.
“Kesedaran ini bukan bermusim. Kita mahu budayakan pemilikan alat pemadam api di setiap rumah, sama seperti kita mewajibkan topi keledar ketika menunggang motosikal. Kita juga akan memberi penekanan tentang kepentingan pengesan asap, laluan keluar yang selamat serta memastikan pintu tidak dihalang barangan,” katanya. – UTUSAN











