MARANG: Perikatan Nasional (PN) tidak mahu tergopoh-gapah menyelesaikan isu kedudukan ketua pembangkang kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk pandangan kepemimpinan parti dan ahli-ahli Parlimen lain serta perhitungan politik.
Sehubungan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta rakan-rakan gabungan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya memberi peluang kepada Pas menyelesaikan perkara itu setelah meneliti semua pandangan dan isu berbangkit.
Katanya, Pas tidak bersikap diktator dalam isu kedudukan ketua pembangkang walaupun menerajui PN dan mempunyai ahli Parlimen yang ramai.
Beliau juga menafikan Pas setuju mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN, Ahad lalu.
“Saya tidak sebut begitu (Pas akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Cuma saya minta rakan-rakan dalam Bersatu supaya beri peluang kepada kami. Saya tidak bersikap ditaktor memilih ketua pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Terdahulu, kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang dilapor kekal sehingga hujung sidang Dewan Rakyat.
Ketua Whip Perikatan Nasional PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada notis rasmi diterima berhubung pertukaran jawatan berkenaan setakat ini.
Takiyuddin berkata, sebarang perubahan jawatan penting memerlukan proses peraturan Dewan Rakyat yang tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
Sebelum ini, media melaporkan isu ketua pembangkang berbangkit susulan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dipecat dari parti itu.
Susulan itu, wujud desakan dalam Bersatu sendiri yang menuntut perubahan jawatan ketua pembangkang, namun mengikut amalan pemilihan biasa, jawatan itu perlu diputuskan secara konsensus oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Pas ketika ini memiliki 43 ahli Parlimen diikuti 25 wakil Bersatu yang kini terpecah kepada dua kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah. –UTUSAN










