SEKIRANYA dapatan dalam buku Kavya Sastra (2021) diteliti dan dibandingkan dengan perkembangan mutakhir, memang tidak ramai penulis wanita kaum India yang kekal konsisten menghasilkan karya sastera kebangsaan, khususnya cerpen.
Dalam suasana dunia sastera yang sering menuntut komitmen masa, daya tahan emosi dan disiplin intelektual, ramai penulis yang gugur di pertengahan jalan.
Namun, masih ada suara yang bertahan dan terus menyumbang dengan tekun. Antaranya, Anuradha Chelliah dan Malini Lakshmi Bai. Saya berbual dengan dua penulis wanita ini untuk mencungkil rahsia mereka mampu terus prolifik.
Anuradha yang lahir pada 1978 dan menetap di Banting, Selangor, bukan penulis sepenuh masa. Beliau jurulatih yoga terlatih yang mendapat pengiktirafan Sakthi School of Yoga, Malaysia. Karya-karyanya tersiar dalam antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024).
Di sebalik senarai penerbitan itu, tersembunyi disiplin hidup yang ketat.
“Saya gemar bangun awal pagi. Lazimnya, bangkit dalam pukul 4.30 pagi,” katanya.
Sebelum matahari menyingsing, Anuradha sudah sembahyang, melakukan latihan pernafasan dan membaca lima hingga lapan muka surat buku bukan fiksyen.
Rutin ini bukan sekadar jadual harian tetapi proses pembinaan diri. Seawal 6.50 pagi, Anuradha sudah berada di sekolah untuk membuat persiapan mengajar.
Selesai tugas sekitar 1.20 tengah hari, dia mengendalikan kelas yoga pada hari tertentu, menyediakan makan malam dan menguruskan anak-anak ke kelas tambahan.
Dalam kesibukan itu, di manakah ada ruang untuk menulis?
“Idea menulis datang dalam pelbagai aspek. Kadang-kadang melalui pemerhatian. Kadang-kadang melalui pembacaan atau pendengaran,” jelasnya.
Idea-idea itu segera dicatat dalam telefon bimbit atau buku nota. Ada yang berkembang menjadi karya, ada yang terbiar menunggu masa. Proses kreatif Anuradha bersifat organik tetapi berakar pada disiplin mencatat dan merenung.
Hujung minggu pula dimanfaatkan untuk keluarga, membeli barangan dapur, membersihkan rumah dan membaca surat khabar. Jika berkelapangan, dia menyertai aktiviti keagamaan, penulisan atau yoga.
Bagi Anuradha, kehidupan dan penulisan tidak terpisah kerana kedua-duanya saling menyokong. Pengalaman harian sebagai wanita, ibu, pendidik dan pengamal yoga menjadi sumber idea dan bahan penulisan menarik.
Sementara itu, Malini yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1992, lahir daripada latar linguistik yang kukuh. Beliau lulusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Linguistik dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar.
Minatnya terhadap bahasa sudah terpupuk sejak sekolah. Malini pernah meraih johan dan naib johan pertandingan debat, syarahan dan forum pelajar pada 2009.
Sejak 2021, beliau aktif menulis dalam bahasa kebangsaan dan Inggeris, serta kini berkhidmat sebagai editor pengurusan di majalah My Aviation.
Rutin hari kerjanya bermula dengan semakan e-mel, perancangan tugasan editorial dan koordinasi kandungan majalah. Waktu pejabat dipenuhi mesyuarat, penulisan dan penyuntingan.
Namun, sepertimana Anuradha, Malini tidak menunggu ‘masa lapang yang ideal’ untuk menulis.
“Saya memanfaatkan waktu lapang seperti pada waktu malam dan hujung minggu untuk membaca, mencatat idea serta menulis sedikit demi sedikit,” katanya.
Malah, ketika waktu makan tengah hari, Malini masih sempat mencatat rangka awal penulisan.
Pendekatan ini memperlihatkan kesedaran proses kreatif tidak semestinya berlangsung dalam blok masa yang panjang tetapi boleh digarap secara konsisten dalam sela-sela kesibukan.
Hujung minggu bagi Malini bukan sekadar waktu rehat sebaliknya mengunjungi perpustakaan, taman awam serta rumah-rumah ibadat tradisional dan bersejarah.
Lawatan itu dimanfaatkan untuk merakam foto, memerhati persekitaran dan mengumpul idea.
Aktiviti ini memperluas perspektif dan memperkayakan kandungan penulisan secara kreatif. Pemerhatian menjadi bahan mentah, refleksi menjadi ramuan dan bahasa menjadi wahana.



TULIS PENGALAMAN SENDIRI
Kedua-dua individu ini turut terlibat dalam aktiviti Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Anuradha menyertai Bengkel Penulisan Intensif di Putrajaya pada 8 dan 9 Jun 2024 yang membantunya menghasilkan rencana bermutu.
“Sesi seperti ini memberi masa yang cukup untuk peserta menghasilkan karya,” ujarnya, sambil menekankan manfaat maklum balas rakan penulis.
Dia juga menyertai Perbincangan Meja Bulat Penulis Malaysia yang membuka ruang dialog tentang cabaran penulis tempatan. Malini pula menyertai bengkel penulisan serta program pembacaan dan perkongsian karya anjuran Kavyan.
Katanya, pendedahan kepada pelbagai gaya dan sudut pandangan membantunya menilai kekuatan dan kelemahan sendiri secara objektif sebagai seorang pengarang.
Mengapa perlu lebih ramai wanita kaum India menulis dalam sastera kebangsaan? Saya mengemukakan pertanyaan itu dan mereka menjawab tanpa perlu berfikir panjang.
“Wanita India perlu terlibat dalam penulisan bahasa kebangsaan untuk memberikan maklumat yang tepat mengenai kaum India dari segi pengalaman, agama, budaya dan tradisi,” kata Anuradha.
“Katanya, wanita kaum India wajar menulis pengalaman sendiri tanpa mengharapkan orang lain melakukan tugas itu. Malini pula melihat penglibatan wanita kaum India sebagai usaha memperkayakan sastera kebangsaan dengan suara dan perspektif yang pelbagai.
Baginya, apabila wanita kaum India menulis dalam bahasa kebangsaan, mereka sebenarnya membantu membina jambatan kefahaman antara komuniti serta mengukuhkan bahasa kebangsaan sebagai medium komunikasi yang inklusif.
Dalam konteks Malaysia yang majmuk, suara wanita India bukan sekadar pelengkap statistik. Sebaliknya menjadi naratif pengalaman yang selama ini kurang diarusperdanakan.
Disiplin bangun seawal 4.30 pagi, catatan ringkas di telefon ketika ilham menyapa, lawatan ke perpustakaan dan rumah ibadat untuk mengutip inspirasi seperti dilakukan dua wanita ini membuktikan penulisan bukan soal masa yang berlebihan komitmen yang berterusan.
Pada penelitian saya, Anuradha dan Malini berjaya membuktikan untuk menjadi pengarang sastera kebangsaan bukan pilihan yang mudah tetapi sedar.
Dan daripada kesedaran itulah lahir karya yang jujur, tekun dan berakar pada pengalaman sebenar masyarakat yang diwakili. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










