CIMB, Ant International teroka inovasi pembayaran rentas sempadan - Utusan Malaysia

CIMB, Ant International teroka inovasi pembayaran rentas sempadan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Ant International bagi meneroka bersama inovasi dalam pembayaran rentas sempadan serta penyelesaian pengurusan perbendaharaan dan kecairan.

Kerjasama komprehensif itu menyaksikan CIMB bekerjasama dengan perniagaan utama Ant International, termasuk Alipay+, Antom dan Bettr Treasury.

Ini merangkumi keupayaan bersepadu kumpulan dalam pengurusan tunai, perbendaharaan dan penyelesaian pasaran, kemudahan kredit dan pembiayaan, aktiviti pasaran modal serta inisiatif berkaitan kemampanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, kerjasama itu menandakan satu pencapaian penting dalam strategi Forward30, di mana inovasi diterapkan dalam teras operasi dan daya saing Kumpulan.

“Kerjasama dengan Ant International membolehkan kami mempercepatkan penggunaan teknologi lejar teragih di peringkat institusi dalam ekosistem perbendaharaan.

“Ini meletakkan CIMB di barisan hadapan dalam membina inovasi infrastruktur kewangan digital yang berskala dan bersedia untuk masa depan di seluruh ASEAN.

“Ia sekali gus meningkatkan keupayaan kami untuk menawarkan kecekapan, ketelusan dan keterhubungan rentas sempadan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah MoU tersebut, CIMB dan Ant International turut akan membangunkan bersama rangka kerja digital bagi memperkukuh operasi perbendaharaan dan kecairan kedua-dua pihak.

Ia dilakukan dengan memanfaatkan penyelesaian pengurusan perbendaharaan berasaskan blockchain generasi baharu Ant International, tertakluk kepada rangka kerja serta kelulusan kawal selia.

Selain itu, rangka kerja itu bertujuan meningkatkan kecekapan modal, ketelusan dan pengoptimuman kecairan rentas sempadan.

Ini sekali gus mengukuhkan daya tahan serta daya saing ekosistem kewangan serantau kedua-dua pihak demi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di Malaysia.

Sementara itu, Presiden Ant International, Douglas Feagin berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama dengan CIMB yang berkongsi matlamat sama dalam memanfaatkan teknologi bagi pembayaran rentas sempadan yang lancar dan inklusif.

“Dengan menggabungkan kekuatan, kami akan memperluaskan penggunaan tokenisasi di peringkat institusi, iaitu tonggak utama infrastruktur kewangan generasi baharu.

“Ia juga bagi mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih cekap dan inklusif untuk perniagaan di Malaysia,” ujarnya.

MoU tersebut mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua pihak untuk memacu inovasi digital secara bertanggungjawab dengan mengekalkan tadbir urus yang kukuh.

CIMB dan Ant International akan memajukan pembangunan rangka kerja itu dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan praktikal dan berskala bagi menyokong keperluan perbendaharaan institusi yang semakin berkembang di rantau ini.

Inisiatif berkenaan turut mengukuhkan komitmen CIMB dalam memajukan pelanggan dan masyarakat melalui pemerkasaan infrastruktur kewangan digital berasaskan tokenisasi.

Langkah itu dibina atas penyertaan CIMB dalam Digital Assets Innovation Hub Bank Negara Malaysia yang diumumkan baru-baru ini, selari dengan agenda transformasi digital Forward30. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×