KUALA PILAH: Demi menyambung legasi pembuatan baulu yang diwariskan oleh neneknya, seorang wanita sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai jururawat.
Nurul Syamimi Iskandar Nor, 35, berkata, dia berhenti kerja pada 2024 bagi memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan yang diusahakan neneknya sejak 1982.
Katanya, dia mula mengambil tempahan secara kecil-kecilan pada 2018 bagi menghidupkan semula perniagaan kuih tradisional itu yang terhenti selepas datuknya meninggal dunia, selain faktor usia nenek yang semakin lanjut.
“Selepas berkahwin, saya dan suami sepakat untuk menghidupkan semula perniagaan ini dengan menggunakan acuan serta resipi asal nenek yang tidak pernah diubah.
“Kami bermula secara kecil-kecilan pada 2018 dengan membakar baulu setiap Sabtu dan Ahad di kampung, sebelum membawanya ke Kuala Lumpur untuk dihantar kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pelangai di sini.
Nurul Syamimi berkata, suaminya, Hasan Faisal Sayujan, 37, terlebih dahulu berhenti kerja pada hujung 2023 bagi membuka kedai di tepi jalan selepas melihat permintaan semakin meningkat.
“Kami berani berhenti kerja kerana nampak permintaan yang sangat tinggi terhadap baulu bakar sabut ini.
“Ramai pelanggan rindu rasa baulu asli kampung yang dibakar secara tradisional. Tambahan pula, tidak ramai anak muda berminat meneruskan perniagaan seperti ini,” katanya.
Kini, Nurul Syamimi mampu menghasilkan kira-kira 3,000 biji baulu sehari, namun jumlah itu meningkat kepada 6,000 biji sepanjang Ramadan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, tempahan juga meningkat dua kali ganda menjelang Aidilfitri sehingga terpaksa menutup pesanan lebih awal berikutan kekurangan tenaga kerja.
“Proses membakar masih dilakukan secara manual menggunakan sabut kelapa. Walaupun memenatkan, kami mahu mengekalkan keaslian rasa dan cara pembuatan seperti yang diamalkan nenek sejak dahulu,” katanya. – UTUSAN










