Hospital Tawau laksana pembedahan secara sedar pertama

Hospital Tawau laksana pembedahan secara sedar pertama

DZULKEFLY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Hospital Tawau berjaya melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar (awake craniotomy) yang pertama di Pantai Timur Sabah.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan dan kesiapsiagaan kepakaran tempatan dalam mengendalikan kes berisiko tinggi tanpa perlu bergantung kepada hospital luar daerah.

Beliau yang bertindak sebagai pemerhati pembedahan itu berkata, prosedur berkenaan diketuai pakar bedah saraf dengan sokongan pasukan anestesiologi dan pakar berkaitan bagi memastikan berjalan lancar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, pembedahan ini berjalan dengan jayanya apabila kita sendiri dapat melihat kerjasama rapat antara pakar dari Kota Kinabalu yang turun bersama pasukan di Hospital Tawau.

“Ini kali pertama dilaksanakan di Pantai Timur Sabah, di mana pesakit berada dalam keadaan sedar ketika pembedahan bagi membolehkan fungsi otak dipantau secara langsung dan memastikan keberkesanan prosedur,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Warga Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) Peringkat Daerah di sini, semalam.

Awake craniotomy ialah prosedur pembedahan otak yang dilakukan ketika pesakit sedar bagi membolehkan pakar bedah menilai fungsi saraf seperti pertuturan dan pergerakan secara langsung sepanjang pembedahan serta mengurangkan risiko komplikasi.

Pembedahan yang dijalankan pada 23 Februari lalu mengambil masa kira-kira dua jam setengah terhadap pesakit didiagnosis lesi otak yang merupakan seorang wanita berusia 48 tahun.

Pesakit kini dilaporkan stabil dan masih berada di bawah pemantauan rapi hospital.

Rina berkata, pencapaian itu selaras dengan usaha memperkasa Hospital Tawau sebagai hospital rujukan utama di Pantai Timur Sabah yang mampu menawarkan perkhidmatan kepakaran lebih tinggi.

“Dengan adanya pakar dan kemampuan melaksanakan prosedur seperti ini, kita tidak lagi terlalu bergantung kepada tenaga luar.

“Ini memberi kelegaan kepada pesakit dan keluarga kerana mereka boleh mendapatkan rawatan kepakaran di daerah sendiri tanpa menanggung kos perjalanan dan penginapan yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini