PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime) tidak bercadang membuat perubahan harga kereta meskipun ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang utama, sebaliknya akan menyesuaikan margin dan menawarkan diskaun biasa bagi mengekalkan daya saing pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pengukuhan ringgit memberi kesan langsung terhadap keuntungan kumpulan berikutan sebahagian besar pendapatannya dijana dari Australia, China dan Singapura.
“Dari perspektif Sime, keuntungan tidak begitu baik kerana sebahagian besar keuntungan kami dijana dari Australia, China dan Singapura.
“Apabila diterjemahkan semula kepada ringgit, nilainya menjadi lebih rendah, jadi terdapat kesan langsung daripada pengukuhan ringgit,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan separuh pertama dan suku kedua tahun kewangan 2026 Sime di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi keseluruhan kumpulan masih kekal baik walaupun berdepan cabaran turun naik mata wang.
Mengulas mengenai kesan pengukuhan ringgit terhadap harga kenderaan, Jeffri berkata situasi itu bergantung kepada struktur kos dan mata wang pembayaran alat ganti bagi setiap jenama.
Menurutnya, bagi Perodua sebahagian alat ganti diimport dari Jepun dan ringgit ketika ini mengukuh berbanding yen, manakala bagi Toyota pula, kebanyakan pembayaran alat ganti dibuat dalam dolar Amerika Syarikat.
“Pada masa ini, kami tidak melaraskan harga kereta selain diskaun biasa untuk mengekalkan daya saing berbanding jenama lain di pasaran,” katanya.
Beliau berkata, tiada rancangan jelas untuk menurunkan harga kenderaan, sebaliknya Sime hanya melaraskan margin berdasarkan keadaan semasa pasaran.
“Saya fikir ini kesan sementara kerana kadangkala kita mendapat keuntungan dalam tempoh enam hingga lapan bulan, tetapi keadaan boleh berubah dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Jadi kami tidak ada perancangan untuk membuat sebarang perubahan harga yang boleh mengganggu asas pendapatan kami,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan mengenai unjuran pertumbuhan tahun kewangan 2026, beliau berkata, prestasi kumpulan dijangka setara dengan tahun lalu.
“Sukar untuk dijawab kerana kami baru sahaja mengumumkan keputusan suku tahunan, namun, jika berlaku perkara tidak dijangka, prestasi tahun ini dijangka setara dengan tahun lalu,” katanya.
Sime mencatatkan untung bersih sebanyak RM431 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (S2 TK2026) berakhir 31 Disember 2025, meningkat 41.3 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan bagi suku berkenaan meningkat tujuh peratus kepada RM19 bilion berbanding RM17.7 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagi tempoh suku yang dikaji, bahagian automotif merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM209 juta, meningkat 77.1 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
Prestasi itu didorong keuntungan lebih kukuh merentasi operasi Asia, disumbangkan perniagaan di China serta hasil lebih tinggi daripada aktiviti pemasangan di Malaysia.
Operasi di Singapura turut mencatatkan peningkatan keuntungan disokong jualan kenderaan lebih tinggi sepanjang suku berkenaan.
Dalam segmen perindustrian, PBIT merosot 11 peratus kepada RM300 juta pada suku semasa, terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada operasi di Australasia dan Malaysia. – UTUSAN










