Newcastle sedia berdepan Chelsea atau Barcelona

Newcastle sedia berdepan Chelsea atau Barcelona

Penyerang Newcastle United, William Osula (kanan) bersaing dengan tonggak tengah Qarabag, Pedro Bicalho dalam play-off kedua Liga Juara-Juara di St James' Park, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEWCASTLE: Pengurus Newcastle United, Eddie Howe menegaskan pasukannya tidak gentar untuk berdepan sama ada Barcelona atau Chelsea pada pusingan kalah mati, dengan undian dijadualkan berlangsung esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Howe, pengalaman menentang dua kelab gergasi itu sebelum ini menjadi bekalan berharga buat anak buahnya dalam mengharungi cabaran lebih getir di pentas Eropah.

Barcelona pernah menewaskan Newcastle 2-1 di St James’ Park dalam aksi Liga Juara-Juara pada September lalu, manakala pertembungan dengan Chelsea berakhir 2-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Disember lalu.

“Kami sangat menikmati perlawanan menentang Barcelona dan turut beraksi baik ketika menentang Chelsea di laman sendiri.

“Kami tidak menang dalam kedua-dua perlawanan itu, jadi mungkin itu petanda yang baik untuk pertemuan seterusnya,” kata Howe.

Howe menegaskan, sasaran utama Newcastle sejak awal musim adalah untuk mara ke kelompok 16 terbaik, dan pencapaian itu kini menjadi kenyataan selepas mereka menewaskan Qarabag FK 3-2 di St James’ Park, semalam bagi melengkapkan kemenangan agregat 9-3.

Kejayaan tersebut sebenarnya hampir pasti selepas Newcastle membelasah Qarabag 6-1 pada aksi pertama di Baku minggu lalu namun perlawanan kedua tidak menyaksikan pesta gol seperti dijangkakan walaupun tuan rumah memulakan aksi dengan cukup meyakinkan.

Kemenangan itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila ia menjadi kemenangan keenam Newcastle dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini, satu pencapaian yang belum pernah diraih kelab berkenaan sebelum ini.

Ini juga penampilan sulung Newcastle di peringkat kalah mati format semasa, biarpun mereka pernah mara ke fasa kedua peringkat kumpulan pada 2003 ketika saingan itu menggunakan format berbeza melibatkan 16 pasukan.

“Pada kedudukan 2-0, mungkin kami sedikit mengendur. Itu bukan niat sebenar kami, tetapi ia reaksi semula jadi selepas memiliki kelebihan selesa.

“Jika dilihat secara keseluruhan dua perlawanan, prestasi pemain sangat cemerlang walaupun kemenangan hari ini terasa sedikit hambar,” ujar Howe. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN