Ucapan tahunan Trump buat rakyat AS ‘mual’

Ucapan tahunan State of Union Trump buat rakyat AS ‘mual’

DONALD Trump menyampaikan ucapan pertama sesi State of Union bagi penggal kedua beliau dihadapan Dewan Perwakilan di US Capitol, Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan pentas ucapan tahunan State of Union untuk menyampaikan retorik ‘zaman kegemilangan AS’ ketika sokongan rakyat terhadap beliau semakin merosot menjelang pilihan raya separuh penggal pada November.

Mengikut saranan ahli-ahli Republikan yang bimbang mereka mungkin kehilangan majoriti di Kongres tahun ini, Trump menumpukan satu jam pertama ucapan yang disiarkan secara langsung itu kepada sektor ekonomi.

Beliau mendakwa berjaya memperlahankan inflasi, memacu pasaran saham ke tahap rekod baharu, menandatangani pemotongan cukai menyeluruh dan menurunkan harga ubat.

“Negara kita kembali lebih besar, lebih baik, lebih kaya dan lebih kuat daripada sebelum ini,” kata Trump selepas naik ke pentas disambut sorakan ‘USA, USA’ oleh rakan-rakan Republikan di Kongres.

Tetapi tinjauan pendapat menunjukkan pengundi menyalahkan beliau kerana tidak melakukan banyak usaha untuk menangani krisis kos sara hidup, walaupun beliau berkempen secara giat mengenai isu itu.

Puluhan kerusi kosong di sebelah Demokrat selepas ramai ahli politik memilih untuk menghadiri perhimpunan anti-Trump di luar dewan.

Ucapan tahunan kepada Kongres itu disampaikan pada saat mencabar bagi tempoh kepimpinan Trump, dengan tinjauan menunjukkan majoriti rakyat AS kecewa dengan prestasinya, kebimbangan terhadap Iran meningkat dan dasar tarif utamanya terjejas selepas Mahkamah Agung AS membatalkan kebanyakan cukai import yang beliau kenakan.

Ucapan beliau berlangsung kira-kira satu jam 47 minit, memecahkan rekod beliau sendiri tahun lalu bagi ucapan Presiden terpanjang di Kongres.

Walaupun Trump berkata, inflasi sedang merosot, harga barangan runcit, perumahan, insurans dan utiliti masih jauh lebih tinggi daripada beberapa tahun lalu. 

Data baharu yang dikeluarkan Jumaat lalu menunjukkan ekonomi perlahan lebih daripada jangkaan pada suku terakhir manakala inflasi terus meningkat.

SOKONGAN MERUDUM

Tinjauan Reuters/Ipsos mendapati hanya 36 peratus rakyat AS meluluskan cara Trump mengendalikan ekonomi. 

Demokrat berharap dapat menguasai kedua-dua dewan Kongres daripada Republikan pada November apabila semua 435 kerusi Dewan Perwakilan dan kira-kira sepertiga daripada 100 kerusi Senat dipertandingkan.

Trump yang menyerang Mahkamah Agung secara peribadi selepas keputusan tarif Jumaat lalu sempat bersalaman dengan empat hakim yang hadir ketika memasuki dewan. 

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai ‘malang’ tetapi berhujah ia tidak akan memberi impak besar kepada dasar perdagangan beliau.

Trump tidak membincangkan kecerdasan buatan (AI), pada ketika teknologi itu memacu pasaran saham dan membimbangkan pekerja tentang ancaman terhadap keselamatan pekerjaan.

Beliau juga meluangkan hanya sedikit masa mengenai dasar luar negara, walaupun sebahagian besar tenaganya di pejabat tertumpu kepada isu antarabangsa.

Trump sekali lagi mendakwa beliau ‘menamatkan’ lapan perang dan mengabaikan tentang Ukraine walaupun Selasa menandakan ulang tahun keempat pencerobohan Russia. 

Beliau juga tidak membincangkan tentang China, pesaing ekonomi utama AS atau Greenland, wilayah semi-autonomi Denmark yang pernah diancam untuk diambil alih beliau.

Trump juga tidak menjelaskan rancangan terhadap Iran walaupun terdapat tanda-tanda beliau semakin menghampiri konflik ketenteraan dengan Teheran.

“Pilihan saya adalah menyelesaikan masalah ini melalui diplomasi. Tetapi satu perkara pasti, saya tidak akan membenarkan penaja utama keganasan dunia memiliki senjata nuklear,” katanya.

BERPERANG DENGAN DEMOKRAT

Apabila Trump beralih kepada topik kegemarannya iaitu imigresen, beliau mengulangi retorik sama seperti kempen 2024, mendakwa migran tanpa dokumen bertanggungjawab terhadap gelombang jenayah walaupun kajian menunjukkan sebaliknya.

“Anda harus malu,” katanya kepada Demokrat, mengkritik mereka yang enggan membiayai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) tanpa langkah drastik untuk mengawal taktik agresif ejen imigresen di bawah pentadbiran beliau.

Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat percaya tindakan tegas imigresen Trump sudah keterlaluan, selepas dua warga AS sendiri ditembak mati oleh ejen persekutuan berseragam di Minneapolis.

Trump, yang secara salah mendakwa penipuan pilihan raya di AS semakin meluas selama bertahun-tahun, turut menyerang Demokrat kerana tidak menyokong syarat pengenalan pengundi.

“Mereka mahu menipu,” katanya. Demokrat berhujah bahawa undang-undang yang disokong Republikan itu akan membebankan pengundi dan menekan kehadiran pengundi.

Ahli Dewan Perwakilan AS Demokrat, Al Green diusir dari dewan untuk tahun kedua berturut-turut selepas mengibarkan plakad yang tertulis, ‘Orang kulit hitam bukan monyet’ merujuk video media sosial yang diposkan Trump yang menayangkan bekas Presiden, Barack Obama dan isterinya, Michelle Obama sebagai monyet.

Ahli Dewan Demokrat Hawaii, Jill Tokuda turut mengadakan protes dengan memakai jaket putih bersama perkataan seperti ‘kos sara hidup’ dan ‘penjagaan kesihatan’.

Beberapa wanita Demokrat memakai tag bertulis ‘dedahkan fail’, merujuk kepada skandal melibatkan pesalah seksual, mendiang Jeffrey Epstein. Lebih kurang 12 mangsa Epstein hadir sebagai tetamu Demokrat pada acara tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×