DRB-Hicom, Geno Group teroka teknologi rantaian blok

DRB-Hicom, Geno Group teroka teknologi rantaian blok

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Geno Group Ltd. dan anak syarikatnya, Geno Edge (Malaysia) Sdn. Bhd. (Geno) bagi mempercepatkan penggunaan teknologi rantaian blok (blockchain) dalam ekosistem perniagaannya.

Kerjasama strategik itu turut melibatkan penerokaan bersama serta potensi pelancaran mata wang kripto stabil (stablecoin) yang disandarkan kepada Ringgit Malaysia, tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia.

Menurut kenyataan bersama, menerusi rangka kerja itu, penyelesaian rantaian blok Geno akan diguna pakai secara berperingkat merentas segmen perniagaan DRB-HICOM termasuk mobiliti, pembuatan dan servis automotif, pembiayaan, logistik serta perbankan.

“Inisiatif ini akan membangunkan infrastruktur untuk stablecoin yang dikendalikan dalam kerangka rantaian blok berizin, direka khusus untuk aplikasi dalam ekosistem DRB-HICOM serta peserta luaran terpilih.

“Ia bertujuan menangani keperluan operasi seperti penyelesaian perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang boleh diprogramkan dan penyelesaian digital berskala yang boleh disepadukan dengan infrastruktur pasaran kewangan sedia ada di Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada penerokaan ini, kedua-dua pihak akan menilai penggunaan deposit token yang diterbitkan oleh institusi perbankan berlesen serta model penyelesaian antara bank selaras dengan keperluan undang-undang.
Inisiatif tersebut juga sejajar dengan evolusi rangka kerja aset digital negara, termasuk Hab Inovasi Aset Digital (DAIH)

Bank Negara Malaysia yang menggalakkan kolaborasi industri dalam pembayaran boleh atur cara dan inovasi penyelesaian digital.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berdisiplin, sebuah Jawatankuasa Pemandu Bersama yang terdiri daripada wakil kedua-dua organisasi akan ditubuhkan untuk memantau hala tuju strategik dan koordinasi kawal selia.

Kerjasama itu bakal menjadi asas kukuh kepada penggunaan rantaian blok perusahaan dan perintis kepada stablecoin Ringgit Malaysia berskala industri yang berpaksikan ekonomi sebenar demi transformasi kewangan serta industri negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×