WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Selasa mendakwa Iran sedang berusaha membangunkan peluru berpandu yang mampu mencapai wilayah AS dan menuduh Teheran berusaha membina semula program nuklear yang disasarkan dalam serangan Washington tahun lalu.
AS dan Iran kini sedang mengadakan rundingan berisiko tinggi mengenai program nuklear Iran serta isu lain termasuk peluru berpandu, dengan Trump berkata, beliau mengutamakan diplomasi tetapi bersedia menggunakan kekerasan jika rundingan gagal.
“Mereka sudah membangunkan peluru berpandu yang boleh mengancam Eropah dan pangkalan kami di luar negara, dan mereka sedang berusaha membina peluru berpandu yang akan dapat mencapai AS tidak lama lagi,” kata Trump semasa ucapannya pada State of the Union.
Pada 2025, Agensi Perisikan Pertahanan AS (DIA) menyatakan Iran berpotensi membangunkan peluru berpandu balistik antara benua yang boleh digunakan untuk ketenteraan menjelang 2035 sekiranya Teheran memutuskan untuk mengejar kemampuan itu,”tetapi tidak dinyatakan sama ada keputusan itu telah dibuat.
Teheran ketika ini memiliki peluru berpandu balistik jarak dekat dan sederhana dengan julat maksimum sekitar 3,000 kilometer, menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS.
Wilayah kontinental AS terletak lebih 6,000 batu dari hujung barat Iran.
Washington dan Teheran sudah mengadakan dua pusingan rundingan untuk mencapai perjanjian mengenai program nuklear Iran bagi menggantikan perjanjian yang dibatalkan Trump semasa penggal pertama beliau.
AS berulang kali menuntut Iran menghentikan pengayaan uranium tetapi juga ingin menangani program peluru berpandu dan sokongannya terhadap kumpulan bersenjata di rantau Asia Barat, tuntutan yang ditolak Teheran.
Iran juga berulang kali menafikan sedang membangunkan senjata nuklear.
Trump berulang kali mengugut untuk menyerang Iran sekiranya rundingan gagal mencapai perjanjian baharu. Rundingan dengan Teheran dijadualkan bersambung pada Khamis.
“Pilihan saya adalah menyelesaikan masalah ini melalui diplomasi tetapi satu perkara pasti, saya tidak akan membenarkan penaja utama keganasan dunia memiliki senjata nuklear,” kata Trump.
Ucapan Presiden AS itu kebanyakannya menumpukan pada isu domestik, tanpa menyebut China, saingan ketenteraan dan ekonomi utama Washington dan hanya menyentuh Russia secara ringkas.
Trump berkata, beliau sedang berusaha untuk menamatkan konflik berdarah antara Russia dan Ukraine, serta mengulangi dakwaan tidak tepat yang beliau sudah menamatkan lapan perang lain sejak kembali memegang jawatan pada Januari 2025.
Beliau juga memuji keputusan NATO untuk memperuntukkan lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan, satu langkah yang dibuat di bawah tekanan berat daripada Trump dan pentadbirannya.-AFP










