Penuntut universiti ditahan, UMPSA siasat penyebaran naratif 3R

Penuntut universiti ditahan, UMPSA siasat penyebaran naratif 3R

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam media sosial.  

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tangkapan dilakukan hari ini. 

“Permohonan reman akan dibuat bagi siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di sini hari ini. 

Terdahulu, tular dalam media sosial kenyataan seorang individu dikatakan penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW termasuk memuat naik gambar memijak al-Quran.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan yang dikaitkan dengan seorang penuntut universiti tersebut.

Katanya,  pihak universiti tidak berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan palsu atau berbaur kebencian.

“Sentimen 3R ini tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti yang boleh mencetuskan pelbagai reaksi warga maya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yatimah berkata, UMPSA sudah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.

Beliau turut mengingatkan warga UMPSA sutidak menyebarkan kandungan menyentuh isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian negara, selain menekankan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.

UMPSA juga memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×