KUALA LUMPUR: Seramai 100 remaja perempuan termasuk di bawah Perintah Mahkamah menyertai Program YKN Kasih Ramadan: HER Journey bertujuan membina jati diri dan mengelakkan keciciran sosial.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, peserta berusia 15 hingga 19 tahun itu terdiri daripada anak yatim dan piatu, mangsa penderaan atau pengabaian serta remaja di bawah seliaan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Nancy berkata, golongan berkenaan sedang berada dalam fasa kritikal dan memerlukan intervensi berstruktur bagi memastikan mereka tidak terus terdedah kepada risiko jenayah dan masalah sosial.
“Kita tidak boleh membiarkan mereka berjalan sendirian. Intervensi menyeluruh seperti ini penting agar mereka mampu bangkit sebagai individu yang berdaya tahan dan bermaruah,” katanya ketika merasmikan Program YKN Kasih Ramadan: HER Journey di sini hari ini.
Menurut Nancy, usaha memperkasa remaja perempuan rentan juga perlu melibatkan pembangunan emosi, keyakinan diri dan kekuatan dalaman, bukan sekadar perlindungan fizikal semata-mata.
Katanya, pendekatan whole-of-government dan whole-of-society yang digunakan dapat memastikan setiap intervensi sosial dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama kementerian, agensi kerajaan serta rakan strategik.
Nancy berkata, program itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia dimana menampilkan sesi kesedaran keselamatan diri selain slot motivasi bagi membina harga diri dan hala tuju kehidupan peserta.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem sokongan kepada remaja perempuan yang memerlukan perlindungan dan bimbingan berterusan agar mampu berdikari serta menyumbang kepada masyarakat. – UTUSAN








