KUALA LUMPUR: Kepulangan Lee Zii Jia menyarung semula jersi negara bagi kempen Piala Thomas 2026 menyaksikan fokus utama kini terarah kepada usaha memantapkan semangat berpasukan dalam skuad badminton kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, kejohanan berpasukan menuntut pendekatan berbeza berbanding saingan individu, khususnya dari segi kerjasama dan keserasian antara pemain.
Beliau memaklumkan Zii Jia telah bersetuju menyertai kem latihan pusat di Denmark selama 10 hari sejurus tamat Kejohanan Badminton Asia di China dari 7 hingga 12 April ini sebagai persediaan menghadapi saingan di Horsens.
“Kejohanan berpasukan dan individu memang tidak sama, dia sudah biasa bergerak sendiri jadi latihan ini untuk bina semangat berpasukan,” katanya.
“Dia pun setuju untuk ikut kem latihan 10 hari di Denmark dan kalau dia atau mana-mana pemain profesional mahu jalani latihan lebih awal di Akademi Badminton Malaysia, mereka sentiasa dialu-alukan,” kata Chong Wei.
Kelmarin, Zii Jia menerusi laman sosial Instagram Team LZJ mengesahkan kesediaannya membantu Malaysia pada kempen Piala Thomas dari 24 April hingga 3 Mei tanpa mengemukakan sebarang tuntutan kepada BAM.
Chong Wei menyifatkan kehadiran semula pemenang gangsa Olimpik Paris 2024 itu sebagai suntikan besar buat pasukan, terutama dalam memperkukuh strategi sektor perseorangan sama ada di posisi kedua atau ketiga.
“Tetapi soal susunan pemain, saya serahkan sepenuhnya kepada Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky untuk buat analisis serta tentukan siapa paling sesuai di posisi pertama, kedua dan ketiga,” katanya.
“Bukan sebab kita pentingkan diri kerana Piala Thomas, yang penting semua pemain Malaysia berada dalam keadaan baik dan boleh beri persembahan terbaik satu demi satu perlawanan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap Zii Jia mencapai tahap kecergasan optimum menjelang kejohanan itu dan menasihatkan Zii Jia mendapatkan khidmat Institut Sukan Negara (ISN) sekiranya memerlukan sokongan tambahan bagi memastikan persiapannya benar-benar berada pada tahap terbaik. – UTUSAN











