DUBAI: Selat Hormuz sekali lagi menjadi tumpuan pasaran tenaga global apabila ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan risiko gangguan di laluan minyak paling penting di dunia.
Dalam perkembangan terkini, pihak berkuasa Iran menutup sebahagian Selat Hormuz beberapa jam pada 17 Februari lalu semasa latihan ketenteraan, manakala AS memperluas kehadiran tentera lautnya di Teluk.
Langkah itu menimbulkan kembali kebimbangan lama mengenai kelemahan bekalan minyak dan gas yang melalui laluan sempit tersebut.
Selat Hormuz menghubungkan Teluk dan Lautan Hindi serta lautan terbuka, terletak di antara Iran di utara, Oman dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Ia mempunyai ‘titik’ paling sempit iaitu kira-kira 33 kilometer (km).
Walaupun sempit, selat itu menampung laluan kapal-kapal tangki minyak dunia. Ia menjadi laluan eksport utama untuk minyak Teluk dan gas asli cecair, menyebabkan pasaran tenaga sangat sensitif terhadap kejutan geopolitik.
ALIRAN MINYAK, GAS
Pada 2024, kira-kira 20 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz, bersamaan sekitar 20 peratus penggunaan minyak global, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA)..
Jumlah itu mewakili hampir AS$500 bilion (RM1.95 trilion) perdagangan minyak dan gas setiap tahun. Selat itu juga penting untuk gas asli cecair (LNG).
Kira-kira satu perlima daripada penghantaran LNG global melalui Hormuz, dengan Qatar menyumbang sebahagian besar jumlah tersebut.
“Terdapat sangat sedikit pilihan alternatif untuk memindahkan minyak keluar dari Teluk jika Selat Hormuz ditutup,” kata EIA.
Kebanyakan penghantaran tenaga melalui Hormuz menuju ke Asia. Pada 2024, kira-kira 84 peratus minyak mentah dan kondensat serta 83 peratus LNG melalui selat itu untuk pasaran Asia.
China, India, Jepun dan Korea Selatan bersama-sama menyumbang kira-kira 69 peratus daripada semua aliran minyak mentah dan kondensat, menunjukkan betapa terdedahnya rantau itu kepada sebarang gangguan bekalan.
Di titik paling sempitnya, selat dan laluan perkapalan berada di dalam perairan wilayah Iran dan Oman, memberikan Teheran kelebihan geografi di bawah undang-undang antarabangsa.
Iran boleh cuba mengganggu laluan kapal menggunakan periup api tentara laut, bot serangan pantas dan kapal selam yang direka untuk peperangan asimetrik.
Kira-kira 3,000 kapal melalui selat itu setiap bulan, menjadikan sebarang gangguan walaupun jangka pendek memberi impak dari segi ekonomi.
Media kerajaan Iran memaklumkan sebahagian selat ditutup selama beberapa jam semasa latihan ketenteraan atas alasan keselamatan.
PILIHAN LALUAN
Beberapa pengeluar bahan tenaga itu di Teluk mempunyai saluran paip yang memintas Selat Hormuz, tetapi dengan kapasiti terhad.
Arab Saudi dan UAE hanya boleh mengalihkan sebahagian eksport melalui Laut Merah atau pelabuhan Fujairah di Teluk Oman.
Penganalisis memberi amaran gangguan separa juga boleh mencetuskan kenaikan harga yang mendadak.
Kira-kira 70 peratus daripada kapasiti pengeluaran tambahan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum + (OPEC+) terletak di Teluk, mengehadkan keupayaan pasaran untuk mengimbangi kerugian.
“Harga minyak boleh melebihi AS$100 (RM390) setong jika selat itu disekat,” menurut nota terkini bank pelaburan dan firma perkhidmatan kewangan antarabangsa, Goldman Sachs.
Beberapa pakar industri juga menegaskan penutupan selat akan memberi impak besar kepada harga minyak dalam jangka pendek, bergantung pada tempoh gangguan penghantaran berlaku.
Kenaikan harga minyak dan gas akan menyumbang kepada inflasi, meningkat kos bahan api, pengangkutan serta pembuatan di seluruh dunia, dengan Asia paling terdedah.
“Harga minyak dijangka kekal tidak menentu, dengan perubahan dua hala yang mendadak,” kata pengasas firma penyelidikan SS WealthStreet, Sugandha Sachdeva, kepada Reuters.
Sebarang gangguan yang berpanjangan bukan sahaja akan menaikkan harga minyak, bahkan memberi tekanan kepada perdagangan global, pasaran kewangan dan pertumbuhan ekonomi, menjadikan kebuntuan serantau bertukar kepada kejutan ekonomi di seluruh dunia. – AGENSI










