PETALING JAYA: Kumpulan Affin dan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menyokong penuh pengukuhan pemilikan tempatan dalam sektor telekomunikasi negara melalui komitmen pembiayaan sindiket berjumlah RM3.8 bilion.
Kemudahan pembiayaan itu disediakan bagi menyokong langkah Mawar Setia Sdn. Bhd. (Mawar Setia) mengambil alih pegangan kawalan melebihi 50 peratus dalam pengendali rangkaian mudah alih, U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile).
Mawar Setia merupakan syarikat pegangan pelaburan Malaysia yang dikawal oleh Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Di bawah pengaturan tersebut, Kumpulan Affin bertindak sebagai pembiaya terbesar dengan komitmen RM2.4 bilion, manakala MBSB Bank menyumbang sebanyak RM1.4 bilion.
Tan Sri Vincent Tan berkata, pengambilalihan ini bertujuan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam aset strategik negara, khususnya dalam menyokong pelaksanaan rangkaian 5G kedua oleh U Mobile.
“Tumpuan kami adalah memperkukuh tadbir urus dan sokongan pembiayaan jangka panjang supaya pasukan pengurusan dapat mempercepat pelaksanaan serta memenuhi jangkaan liputan rangkaian 5G kedua negara.
“Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa U Mobile kini menunjukkan kemajuan yang baik dan mendahului jadual pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengambilalihan ini menyaksikan pengurangan pegangan asing oleh Straits Mobile Investments Pte. Ltd. sekali gus memperkukuh kedaulatan digital negara ketika U Mobile memperluas infrastruktur ULTRA5G melalui kerjasama strategik bersama Huawei dan ZTE dari China.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, penglibatan bank tersebut selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028 yang menekankan perbankan bertanggungjawab dan berimpak.
“Pembiayaan ini memperkukuh kapasiti infrastruktur digital jangka panjang Malaysia serta menyokong fasa pertumbuhan seterusnya U Mobile melalui penyertaan domestik yang lebih mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, komitmen RM1.4 bilion oleh pihaknya sebagai langkah menyokong aspirasi digital negara.
“Ini adalah asas kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan keterangkuman merentas isi rumah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri,” katanya. –UTUSAN










