KUALA LUMPUR: Seorang penolong pengurus sebuah kedai jam tangan mewah mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 44 pertuduhan menerima dan memindahkan wang didakwa hasil daripada aktiviti haram membabitkan kerugian RM1.7 juta.
Tertuduh, Miki Oshiro, 36, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim-Hakim Izralizam Sanusi, Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-44, lelaki warga tempatan itu didakwa telah menerima RM1.7 juta daripada seorang pelanggan wanita berusia 61 tahun sebelum memindahkan RM628,499 daripada hasil aktiviti haram itu daripada akaun simpanan miliknya ke dalam beberapa akaun bank milik individu dan syarikat lain.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Oktober 2024 dan 3 Januari 2025 di dua bank di Damansara Utama, Petaling Jaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Mohd. Marzuki mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap kes beserta syarat tambahan iaitu Miki dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan melaporkan diri sebulan sekali ke Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, dekat sini, sehingga kes selesai.
“Tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana pasportnya telah disimpan oleh mahkamah bagi kesalahan yang telah dituduh sebelum ini dan mohon mahkamah juga ambil kira faktor kesalahan yang dilakukan memberi kesan kepada ekonomi dan sistem perbankan negara,” katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, P. Sangari.
Peguam bela, S. Narasimhan memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri selain masih menanggung ibu yang sudah tua.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM105,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melaporkan diri ke Bahagian Siasatan Jenayah AMLA, Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai, dan menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










