2 RUU penting dapat baiki Indeks Persepsi Rasuah 

2 RUU penting dapat baiki Indeks Persepsi Rasuah 

IDRIS Zaharudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat memperbaiki skor dan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Idris Zaharudin berkata, kedua-dua rang undang-undang (RUU) itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi dan penambahbaikan tatakelola yang dirancang oleh kerajaan.  

“Pembentangan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah khususnya Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dalam memperkukuh integriti institusi negara.  

“Rang undang-undang ini adalah merupakan antara tujuh cadangan penambahbaikan yang disyorkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Media semalam melaporkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang membentangkan RUU itu berkata, bacaan kali kedua juga akan dibentangkan pada persidangan kali ini.

Idris berkata, dengan langkah ini, kerajaan yakin ia akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha Malaysia serta memperbaiki skor dan kedudukan negara dalam CPI pada masa akan datang.  

“Pasukan Petugas Khas yang diterajui Ketua Setiausaha Negara menunjukkan kesan positif dalam pelaksanaan agenda reformasi ini. 

“Momentum yang dibina dijangka mampu melonjakkan prestasi negara untuk mencapai kedudukan tangga ke-25 dalam CPI menjelang tahun 2033,” jelasnya.

Idris berkata, kerajaan menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada tekad berterusan untuk memperkukuh prinsip integriti, ketelusan, dan kebertanggungjawaban demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×