SEPANG: Malaysia Airports merekodkan ketibaan 9.4 juta pelancong dalam tempoh sebulan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di seluruh rangkaian lapangan terbang kendaliannya.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertumbuhan tersebut mencerminkan permintaan perjalanan yang kukuh serta kelancaran pengembangan ketersambungan Malaysia di rantau ini.
Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) tertinggi.
KLIA rekodkan sebanyak 5.9 juta pergerakan penumpang peningkatan sebanyak 8.2 peratus YoY, sementara PEN dengan 741,183 penumpang, peningkatan sebanyak 3.8 peratus.
“Seiring dengan pertumbuhan trafik, kami kekal fokus untuk menaik taraf infrastruktur, mengukuhkan rangkaian ketersambungan, dan memberikan standard perkhidmatan yang konsisten merentasi semua lapangan terbang kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Izani menjelaskan, peningkatan itu adalah sebahagian daripada pendekatan proaktif bagi memastikan kapasiti, kebolehpercayaan dan kualiti perkhidmatan seiring dengan pertumbuhan.
Dalam pada itu, inisiatif peningkatan perkhidmatan diteruskan pada Januari dengan pelancaran RIMBA @ KLIA di Bangunan Satelit KLIA Terminal 1, yang menawarkan kawasan rehat bertemakan alam semula jadi yang mendamaikan buat penumpang.
Tambahan pula, Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAM) di KLIA Terminal 1 juga telah berjaya mencapai kadar pematuhan sebanyak 99 peratus, sekali gus melancarkan aliran trafik di kawasan menurun dan mengambil penumpang.
Kata Mohd Izani, ketersambungan negara turut diperluas dengan pengenalan sekurang-kurangnya enam laluan penerbangan baharu pada bulan berkenaan, menghubungkan Malaysia secara terus dengan Shanghai, Jinan, Hong Kong, Hefei, Guangzhou dan Harbin.
“Perkhidmatan tersebut menyediakan penerbangan ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Tawau, dan Pulau Pinang, bagi menyokong pertumbuhan pelancongan dan ekonomi serantau,“ jelas beliau.
Sementara itu katanya, aset Kumpulan di Türkiye iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISGIA), telah mengendalikan seramai 4.2 juta penumpang pada Januari 2026, peningkatan sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN









