THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memulakan prosiding pada Isnin bagi menentukan sama ada bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte perlu dibicarakan atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan kempen antidadah yang membawa maut.
Prosiding pengesahan pertuduhan yang berlangsung selama empat hari itu akan menentukan sama ada terdapat bukti mencukupi untuk meneruskan perbicaraan penuh terhadap Duterte.
Duterte, 80, tidak akan hadir secara fizikal di mahkamah di The Hague selepas panel hakim membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mengecualikan kehadirannya, walaupun hakim memutuskan beliau layak mengambil bahagian dalam prosiding.
Selepas pendengaran itu, hakim mempunyai tempoh 60 hari untuk mengeluarkan keputusan bertulis.
Pendakwa ICC memfailkan tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan melibatkan Duterte, dengan mendakwa beliau terlibat dalam sekurang-kurangnya 76 pembunuhan antara 2013 hingga 2018.
Jumlah sebenar kematian dalam kempen antidadah di Filipina dipercayai mencecah ribuan orang dan peguam mewakili mangsa berhujah bahawa perbicaraan penuh boleh menggalakkan lebih ramai keluarga tampil memberikan keterangan.
Duterte, yang memegang jawatan Presiden dari 2016 hingga 2022, ditahan di Manila pada Mac tahun lalu sebelum diterbangkan ke Belanda dan kini ditempatkan di unit tahanan ICC di Penjara Scheveningen.
Beliau yang mengikuti pendengaran awal melalui pautan video tiga hari kemudian, kelihatan lemah dan kurang bercakap.
Pertuduhan pertama berkaitan dakwaan penglibatannya sebagai pelaku bersama dalam 19 pembunuhan antara 2013 hingga 2016 ketika beliau menjadi Datuk Bandar Davao City.
Pertuduhan kedua melibatkan 14 pembunuhan terhadap individu yang digelar ‘sasaran bernilai tinggi’ pada 2016 dan 2017 semasa beliau menjadi Presiden.
Pertuduhan ketiga merangkumi 43 pembunuhan dalam operasi pembersihan terhadap pengguna atau pengedar dadah peringkat rendah di seluruh Filipina antara 2016 hingga 2018.
Duterte menafikan semua pertuduhan, menurut peguamnya, Nicholas Kaufman.
Human Rights Watch menyifatkan prosiding yang bermula Isnin itu sebagai langkah penting dalam memastikan keadilan bagi mangsa kempen perang terhadap dadah di Filipina.
Kes ini berlaku ketika ICC berdepan tekanan politik hebat, termasuk dua pusingan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan sejak Jun 2025.
Filipina menarik diri daripada ICC pada 2019 atas arahan Duterte, namun mahkamah memutuskan ia masih mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah yang didakwa berlaku antara 2011 hingga 2019.
Pihak pembelaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan keputusan masih belum diumumkan.
Duterte, bekas ketua negara Asia pertama yang dihadapkan ke ICC, masih menikmati sokongan besar di Filipina, dengan ramai rakyat menyokong pendekatan tegasnya terhadap jenayah.
Dua perhimpunan dijadual berlangsung di The Hague pada Isnin, satu menyokong Duterte dan satu lagi menyokong mangsa.-AFP










