Gempa bumi di Sabah: Ahmad Zahid minta JBPM terus pantau

Gempa bumi di Sabah: Ahmad Zahid minta JBPM terus pantau

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melaksanakan pemantauan lapangan berterusan sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda perairan Sabah awal pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rondaan juga turut dijalankan di kawasan tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Beliau berkata, pemeriksaan di beberapa daerah termasuk Putatan, Kudat dan kawasan sekitar juga akan terus dijalankan bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.

“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Sehubungan itu, saya memohon penduduk di kawasan berhampiran agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa, kekal tenang dan tidak panik.

“Dapatkan maklumat sahih daripada Portal Bencana atau media sosial rasmi MET Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain yang berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan gempa bumi bermagnitud 6.8 itu berlaku di perairan Kota Kinabalu, Sabah iaitu kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat, Sabah pada jam 12.57 pagi.

Gegaran dilaporkan dirasai di Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Setakat ini, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan MET Malaysia akan memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyeru umat Islam untuk memanjangkan doa kepada rakyat di Sabah supaya dijauhi oleh bencana.

“Dalam keberkatan bulan Ramadan ini, marilah kita bersama-sama mendoakan agar saudara-saudara kita di Sabah sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah. Semoga Allah SWT memelihara kita semua, insya-Allah,”
katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×