PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan pendirian sehaluan dengan Pas dalam usaha menamatkan konflik melanda Perikatan Nasional (PN), demi memperkukuhkan gabungan itu.
Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, komitmen parti itu kini untuk terus memperkukuh kerjasama sedia ada dengan Pas dan komponen lain demi memastikan kestabilan serta hala tuju gabungan kekal terpelihara.
“Bersatu sehaluan dengan pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan kita komited demi memperkukuhkan PN.
“Kita percaya ini dapat dicapai dalam Mesyuarat Tertinggi PN esok (hari ini) melalui perbincangan bersama,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, Abdul Hadi menegaskan keutamaan Pas adalah menyelamatkan PN yang menghadapi ketidakstabilan berikutan isu pelantikan pengerusi baharu dan konflik dalaman Bersatu, bagi memastikan misi mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang berjaya.
Ketika ditanya sama ada Bersatu ada mencadangkan calon Pengerusi PN, Ahmad Faizal enggan mendedahkan perkara itu. – UTUSAN










