PETALING JAYA: Seorang lelaki yang mengugut pemandu kereta dengan lampu kalimantang di Taman Shemelin, dekat sini akhirnya ditahan polis selepas hampir enam bulan diburu.
Satu laporan polis dibuat pada 11 September tahun lalu berkaitan kes ugutan jenayah membabitkan suspek.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, ketika hari kejadian mangsa bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anak dari sekolah.
“Tiba-tiba sebuah kenderaan tidak dikenali dipandu oleh suspek memotong kenderaan pengadu serta memberhentikan kenderaan secara mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini
Mohd Rosdi berkata, mangsa bersama isteri telah bertanya secara baik kepada suspek namun dia bertindak secara agresif serta melakukan ugutan jenayah.
“Susulan itu, polis yang mengesan suspek menahannya pada 10 Februari lalu bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, suspek direman bermula 11 hingga 12 Februari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“‘Motif kejadian adalah berpunca dari salah faham lalu lintas pergerakan di antara kenderaan mangsa dan suspek. Kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN











