PUTRAJAYA: Penambahan jumlah guru dan bilik darjah antara empat strategi persediaan Kementerian Pendidikan bagi menerima kemasukan berganda murid tahun satu melibatkan kanak-kanak usia enam dan tujuh tahun pada sesi persekolahan 2027.
Selain itu, strategi lain ditetapkan adalah dengan menyuraikan murid di sekolah berkepadatan tinggi ke lokasi lain dan pelaksanaan sekolah dua sesi.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, keempat-empat strategi tersebut dirangka berdasarkan garis masa pendaftaran murid dan analisis tahap kepadatan sekolah di seluruh negara.
Katanya, pertambahan guru dan bilik darjah akan tertumpu kepada sekolah yang mempunyai tumpuan tinggi untuk kemasukan murid.
“Pihak kementerian juga sedang berusaha menambah jumlah guru dengan pengambilan nya berdasarkan unjuran sedia ada dan unjuran tambahan.
“Pengambilan guru akan diberikan keutamaan kepada calon yang mempunyai ijazah dan ikhtisas sama ada dalam pasaran terbuka atau calon dalam kumpulan simpanan.
“Kemudiannya pilihan calon guru yang mempunyai tanpa kelayakan ikhtisas, iaitu mereka ini akan dilantik secara kontrak perkhidmatan (CoS) dan dikehendaki melengkapkan kursus ikhtisas dalam bidang Pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Mohd. Azam memberitahu, tiada kuota ditetapkan melibatkan murid berusia enam tahun untuk kemasukan tahun satu bagi sesi persekolahan 2027 kerana prinsip kerajaan adalah menerima sesiapa sahaja berdasarkan kepercayaan ibu bapa terhadap tahap kesediaan anak.
Setakat lima hari sejak pendaftaran murid tahun satu dibuka Ahad lalu, permohonan bagi usia enam tahun amat menggalakkan iaitu melibatkan 31,809 orang, manakala 196,284 terdiri daripada mereka yang berumur tujuh tahun dengan jumlah keseluruhan seramai 228,110 orang.
Dalam pada itu, Mohd. Azam berkata, strategi lain adalah dengan menyuraikan anak-anak di sekolah berkepadatan tinggi ke sekolah yang mempunyai kepadatan jumlah murid yang rendah di samping pelaksanaan sekolah dua sesi.
Katanya, strategi tersebut mengambil kira berdasarkan garis masa yang bermula permohonan dibuka sehingga kemasukan murid pada 4 Januari 2027.
“Menerusi permohonan pendaftaran, pihak kementerian dapat menyusun strategi seperti menambah bilangan bilik darjah atau guru dengan tumpuan pada sekolah yang mempunyai tumpuan yang tinggi untuk kemasukan.
“Bagi membolehkan penambahan bilik darjah dalam waktu yang cepat, kita akan mendirikan bilik darjah secara teknik Sistem Binaan Berindustri (IBS). Ini termasuk menggunakan kabin mengikut standard bilik darjah yang kondusif dan pengubahsuaian bilik khas kepada bilik darjah,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azam berkata, Kementerian Pendidikan dalam fasa mengeluarkan Kurikulum Persekolahan 2027 untuk tahun satu dan tingkatan satu pada tahun depan dan seterusnya.
Menurut beliau, kandungan buku teks pelajar terlibat akan disesuaikan dengan kurikulum baharu tersebut dan keperluan pengetahuan serta kemahiran masa hadapan.
Katanya, kurikulum baharu untuk prasekolah dan prasekolah pendidikan khas telah bermula tahun ini.
“Dalam tempoh ini, kami telah membuat sesi libat urus menerusi Program Pakat bagi memberikan penerangan kepada semua pemegang taruh seperti guru, ibu bapa, pengusaha tadika swasta dan pelbagai pihak berkaitan kurikulum baharu prasekolah dan prasekolah pendidikan khas.
“Bagaimanapun, untuk kurikulum baharu prasekolah dan prasekolah pendidikan khas tiada buku teks khusus. Pembelajaran pada tahap prasekolah tidak berteraskan subjek tetapi berteraskan tema,” katanya.
Jelasnya, pembelajaran pada tahap prasekolah adalah berasaskan pengalaman pembelajaran dalam dunia sebenar dengan guru diberikan autonomi untuk membina dan memilih bahan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.-UTUSAN











