Padang tiruan 'ikat' kaki Inter Milan

Padang tiruan ‘ikat’ kaki Inter Milan

Pemain Bodo/Glimt, Jens Petter Hauge meraikan jaringan gol menentang Inter Milan dalam aksi play-off Liga Juara-Juara di Aspmyra, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BODO, Norway: Ketua jurulatih Inter Milan, Cristian Chivu menegaskan pasukannya tidak akan berselindung di sebalik isu padang tiruan selepas tewas 1-3 kepada Bodo/Glimt pada aksi pertama play-off Liga Juara-Juara, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Chivu, meskipun anak buahnya jelas bergelut menyesuaikan diri di permukaan padang Stadium Aspmyra, kekalahan itu harus diterima dengan sikap profesional.

“Bodo/Glimt lebih biasa dengan permukaan padang ini, tetapi itu bukan alasan. Kami perlu lebih tajam dan lebih berdisiplin,” katanya.

Inter yang turun selaku pendahulu Serie A tampak hilang rentak terutama pada babak kedua apabila tuan rumah menggandakan tekanan melalui serangan balas pantas.

Bagaimanapun, Chivu tetap optimis peluang skuad Nerazzurri masih belum tertutup menjelang aksi timbal balik di San Siro minggu depan.

“Saingan masih terbuka. Masih ada 90 minit di laman sendiri. Kami tahu kekuatan mereka ketika melakukan serangan balas, dan kami perlu lebih bersedia untuk itu,” jelasnya.

Kekalahan tersebut turut dibayangi kebimbangan terhadap kecederaan kapten, Lautaro Martinez yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua.

“Saya fikir dia mengalami kecederaan dan mungkin perlu berehat agak lama. Kami akan menilai tahap kecederaannya,” ujarnya.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila Sondre Brunstad Fet tenang menyudahkan lorongan Kasper Hogh hasil gerakan sepasukan yang kemas.

Bagaimanapun, Inter Milan menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi rembatan Francesco Pio Esposito yang disahkan selepas semakan VAR.

Bersambung babak kedua, Bodo kembali mendahului menerusi jaringan Jens Petter Hauge sebelum Hogh melengkapkan kemenangan hasil gerakan yang dimulakan Patrick Berg dan Ole Didrik Blomberg. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN